Monday, 11 March 2013

Israk Dan Mikraj Buka Hati Melissa Saila Untuk Berhijrah



Israk Dan Mikraj Buka Hati Melissa Saila Untuk Berhijrah

Sudah lama tidak mendengarkan khabar aktres hebat yang dahulu sungguh popular dengan drama siri Cili Padi iaitu Melissa Saila, alih-alih siapa sangka bahawa dia kini sudah pun berpenampilan baru.

Ketika ditemui di malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM 25) baru-baru ini, anak kepada seniwati Mariani ini sudah pun berhijab sepenuhnya dan ramai yang rindukan kelibat anak saudara kepada primadona Saloma itu di layar perak mahupun kaca televisyen.
Namun, buat masa ini Melissa Saila akui lebih senang berkarya di belakang tabir namun dia menyimpan hasrat untuk berlakon di pentas teater.

"Sekarang saya banyak melibatkan diri di belakang tabir menjadi pengarah bersama produksi saya sendiri. Baru-baru ini saya baru sahaja menghabiskan penggambaran bagi filem pendek sempena Hari Wanita Sedunia bersama 14 orang pengarah wanita lain untuk projek diberi nama Ikal Mayang.

"Selain itu filem arahan saya Dari Kerana Mata yang sudah lama habis penggambarannya tapi masih belum berpeluang ditayangkan. Ada juga dapat tawaran berlakon drama berepisod tetapi sepertimana semua tahu, drama berepisod mempunyai komitmen yang besar.

"Jika diberi peluang saya mahu berlakon teater kerana ia lebih mencabar sekaligus melengkapkan portfolio saya setelah sekian lama menjadi anak wayang. Skill dan penghayatan yang tinggi dapat memberikan saya pengalaman baru setelah berada di dalam industri ini sejak kecil lagi,"katanya mengenai pembabitannya kini dalam industri hiburan khususnya dunia lakonan.

Jarang untuk mendapat peluang bertemu dengan Melissa Saila, murai.com.my sempat bertanyakan pengalaman setelah berhijrah sejak bulan Jun tahun lepas. Pada mulanya dia mahu bermula dengan memakai skaf tetapi menukarkan niatnya itu untuk terus bertudung litup.
"Memang sejak tahun lepas lagi saya telah memasang niat untuk berhijrah. Niat itu tercetus apabila teringatkan usia yang bakal memasuki 40 pada April 2012. Tetapi rasanya ketika itu masih belum cukup kuat untuk terus bertudung litup.

"Dua bulan selepas itu ketika hari jadi anak saya, sekali lagi saya teringatkan niat untuk bertudung dan beberapa hari selepas itu adalah tarikh Israk dan Mikraj dan pada ketika itulah saya mula bertudung litup. Ingat nak mula dengan skaf dahulu tetapi entah mengapa saya terus memilih imej seperti yang sekarang ini.

"Syukur, Alhamdulillah pada hari saya mula berhijab itu pelbagai respon yang saya terima. Ada yang terkejut dan tidak kurang ramai yang menyokong dan memuji penghijrahan saya itu. Anak-anak juga gembira melihat imej saya kini dan ia membuatkan saya lebih kuat lagi," ceritanya panjang lebar mengenai penampilannya yang sungguh manis itu.

Sumber : murai.com

2 comments:

  1. Aminn. Mudah-mudahan hijrahnya berkekalan.

    ReplyDelete
  2. Alhamdullilah . semoga penghijrahan dya berkekalan hingga akhir hayat :)

    ReplyDelete