Saturday 2 March 2013

Shila Bakal Menetap di Shanghai, Buat Konsert di New York

..
Tekad mahu melupakan segala kontroversi yang menghimpit dirinya beberapa bulan lalu, juara Asian Wave 2012, Shila Amzah kini bersedia membuka langkah baru bagi mengukuhkan karier seninya terutama di tanah besar China. Sekaligus mencapai impian bergelar artis lima bintang di persada muzik antarabangsa. Justeru banyak perancangan yang telah diatur oleh bapanya, ND Lala bersama pengurusannya, Shanghai Media Group (SMG) untuk gadis berusia 23 tahun itu.
"Banyak perancangan yang diatur selepas pulang dari menunaikan umrah dan Shila merupakan artis pertama yang menandatangani kontrak selama enam tahun bersama Shanghai Media Group (SMG). Shila juga telah dilantik sebagai Duta Persahabatan negara Malaysia dan China pada Januari lalu," kata ND Lala dalam satu media khas yang diadakan di rumahnya bertempat di Hulu Langat.

ND Lala menjelaskan sekembalinya mereka sekeluarga daripada menunaikan umrah nanti, Shila akan berangkat ke China dan menetap di Shanghai selama sekurang-kurangnya enam bulan. Ini bagi membolehkan Shila menguasai sepenuhnya bahasa Mandarin dan mengikuti segala aktiviti yang telah disusun oleh pihak pengurusannya di sana.

"Bermula April depan Shila akan menetap di Shanghai. Dalam tempoh masa sekurang-kurangnya enam bulan Shila yang akan ditemani ibunya bakal sibuk dengan proses rakaman album Mandarin dan membuat persembahan di sana. Di samping itu Shila juga perlu menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik.

"Setiap hari selama lapan jam Shila akan menjalani latihan mempertingkatkan vokal selain mengikuti latihan fizikal bagi mempertingkatkan staminanya.

"Tumpuan diberikan untuknya mempersiapkan diri bergelar superstar. Nak jadi superstar ni bukan senang. Kita prepare for the best, ready for the worst. Saya percaya dengan semangat dan jati diri yang ada dalam dirinya, dia boleh berjaya sekaligus mengharumkan nama Malaysia ke persada muzik dunia", tambah ND Lala lagi.
..
Lebih membanggakan buat ayah dan ibu penyanyi itu sekaligus rakyat Malaysia kerana Shila bersama beberapa artis hebat negara China akan mengadakan konsert jelajah di Amerika. Destinasi pertama,  Shila akan membuat konsert di Lincoln Center New York, Amerika Syarikat pada 30 Mac ini. Pelantun Patah Seribuitu sekaligus menjadi artis pertama Malaysia yang akan membuat persembahan di arena berprestij dunia, itu. Kemudian dia juga akan mengadakan konsert di Las Vegas pada 6 April depan dan kemungkinan besar, di California.

"Selama 3 minggu kami akan berada di Amerika Syarikat. Selain konsert jelajah, Shila juga berpeluang berkolaborasi dengan artis popular Hollywood.

Pihak kami sedang merancang untuk mengembangkan lagi kerjaya seni Shila di Jepun dan Korea. Malah sudah ada satu syarikat yang menawarkan Shila untuk mengikuti kursus di sana. Dengan segala perancangan ini, kita beri masa selama setahun kepada Shila untuk menimba pengalaman dan pembelajaran.

"Saya percaya, selepas setahun nanti tidak mustahil Shila akan menjadi artis yang namanya melebihi artis hebat seperti Tata Young. Malah saya difahamkan orang-orang di negara China sangat mengangumi cara dan gaya Shila membawakan lagu-lagu Mandarin. Dia seorang yang sangat unik dan luarbiasa", kata Pengurus Besar Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (PRISM), Ong Peng Chu yang turut bertindak membantu menguruskan kerjaya Shila bersama SMG.

Selain itu Shila juga baru saja menubuhkan syarikatnya Shila Amzah Entertainment Berhad yang mana syarikat tersebut bertindak menguruskan apa juga yang berkaitan dengan kerjayanya di Malaysia, di Hong Kong dan Los Angeles.

Tumpuan tidak hanya diberikan diluar negara, sementara buat peminat-peminat Malaysia, Shila memaklumkan dia bakal merelease album terbarunya pada Mei depan.

"Alhamdulillah saya bersyukur. Dengan segala aktiviti yang telah diatur untuk saya, ia memang merupakan satu tanggujawab yang berat. Tapi saya ambil itu sebagai cabaran. Saya sentiasa nak memperbaiki diri saya. Saya bersedia untuk jalani segala aktiviti yang di tetapkan.

"Saya juga akan jalani latihan stamina, saya kena kuruskan badan sikit (gelak). Walaupun saya berhijab, mungkin saya akan juga menari tetapi bukan tarian yang terlalu agresif, mungkin sikit-sikit saja. InsyaAllah, untuk peminat Malaysia, saya akan lancarkan album terbaru pada Mei depan," kata Shila pula.
..
Dalam perkembangan lain, Shila sekeluarga akan berangkat ke tanah suci Mekah selama dua minggu bagi menjalani ibadah umrah pada 6 Mac ini.
Sumber : malaysiandigest.com

No comments:

Post a Comment