Sunday 3 March 2013

Lima polis terkorban, dua anggota kumpulan bersenjata terbunuh di Semporna, Sabah

 

LAHAD DATU: Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada jam 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata berkenaan terbunuh. 

Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugaskan untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid. 

Ismail berkata anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri. 

Ismail berkata polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna. 

Jumaat lalu, dua anggota polis komando VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terkorban dan tiga lagi anggota polis cedera dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo di sini. 
Dalam kejadian itu, 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh. 

Ismail berkata identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan dimaklumkan kemudian. 

Sementara itu, Ismail berkata polis mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka bersenjata api di Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60 km dari sini, pada jam 10 malam tadi. 

"Sehingga kini polis sedang menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu," katanya. 

Ismail berkata polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo, di sini sejak 9 Feb lalu. 

"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan itu. - BERNAMA


Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment