Monday 31 December 2012

Wang hantaran: Sepatutnya makin rendah mengikut status perempuan

Ustaz Mohd Yaakub berkata, jika mengikut logik, makin tinggi pendapatan seorang wanita maka makin rendah nilai wang hantaran sepatutnya diberikan kerana wanita tersebut sudah memiliki kekuatan ekonomi sendiri.

Secara logik juga, jika dia memiliki jawatan dan pendapatan tinggi, pengantin perempuan mampu membiayai sendiri segala kos majlis perkahwinan maka dia tidak memerlukan wang hantaran yang tinggi. Ini jika dinilai secara logik kerana mengikut adat orang Melayu wang hantaran itu akan digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan.

“Dari segi agama pula, wang hantaran adalah perkara bersangkutan adat semata-mata. Islam tidak menentang adat dan budaya selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip asas yang ada dalam ajaran Islam serta mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Oleh itu ada baiknya juga sekiranya dalam isu penetapan jumlah wang hantaran fokus utama adalah kemampuan bakal pengantin lelaki untuk membayarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak).” (Riwayat Imam Ahmad).

Sekiranya jumlah mas kahwin yang diwajibkan oleh syarak turut dianjurkan untuk dipermudahkan, inikan pula wang hantaran yang hanya sekadar adat sahaja.

Mohd Yaakub berkata, jangan pula dek kerana nak membayar wang hantaran yang tinggi bakal pengantin lelaki terpaksa bergolok bergadai bahkan berhutang keliling pinggang. Setelah berkahwin terpaksa pula hidup dalam keadaan kewangan yang sempit yang akhirnya isteri juga akan menanggung akibatnya.

“Nilai maruah seorang wanita atau isteri tidak terletak kepada nilai wang hantaran tinggi. Nilai seseorang wanita juga tidak wajar dilihat dari segi pendidikan, jawatan mahupun kemasyhuran."

Semua manusia tidak mengira keturunan, kedudukan, jantina mahupun bangsa adalah sama sahaja di sisi ALLAH SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan seseorang. Makin tinggi nilai takwa seseorang semakin mulia seseorang itu di sisi ALLAH SWT.

“Apa guna status, kedudukan dan status sekiranya seseorang wanita itu tidak mampu menjadi hamba ALLAH yang baik mahupun isteri yang boleh membahagiakan suaminya,” kata Mohd Yaakub.

No comments:

Post a Comment