Wednesday 26 December 2012

Pelajar UUM maut dihempap papan



KEADAAN papan partikel yang menghempap kereta Perodua Kancil sehingga menyebabkan seorang pelajar terbunuh dalam kejadian berhampiran Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Changlun semalam.



JITRA - Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka dihempap kepingan papan partikel yang terjatuh dari sebuah treler berhampiran Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam kelmarin.
Kejadian pada pukul 8 malam itu mengorbankan Tan Chuan Ta, 20, manakala pemandu kereta Perodua Kancil, Wang Zong Ching, 24; Khoo Kah Wai, 22, dan Yong Hoi Siong, 23, hanya cedera ringan.
Chuan Ta berada di tempat duduk belakang pemandu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketika kejadian, empat penuntut universiti itu dalam perjalanan pulang ke kampus UUM yang terletak di Sintok dekat sini selepas menikmati makan malam di pekan Danok, Thailand.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd. Yusoff berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa papan partikel terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
"Treler yang berada atas pembahagi jalan berada dalam keadaan tidak stabil mengakibatkan lebih 500 keping papan partikel jatuh dan menghempap kereta Perodua Kancil yang dinaiki empat penuntut UUM malang itu," katanya di sini semalam.
Sumber : Kosmo

 

No comments:

Post a Comment