Sunday 30 December 2012

Suka duka sepanjang 2012

Tiz Zaqyah
Tiz Zaqyah
KEMBARA 2012 sungguh indah buat Tiz Zaqyah. Ibarat menyusuri tujuh lapis rona pelangi, setiap satu ada pesona dan cerita tersendiri. Meskipun di celah keindahan itu terselit detik duka, bagi figura jelita ini, itu asam garam kehidupan.
Tidak lengkap suka tanpa duka, bahagia tanpa derita, tawa tanpa tangis kerana ia wajar bergerak seiring untuk menjadikan seseorang itu lebih kental dan matang. Itulah hikmah kehidupan yang jarang direnung dan ditafsir ramai.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Aktres berkulit putih mulus ini bersyukur dengan apa dilaluinya sepanjang tahun ini. Pahit mahupun manis diterima dengan lapang dada, langsung tiada prasangka kerana yakin semua yang datang adalah yang terbaik buatnya.

“Bila saya renung semula satu persatu perkara yang saya tempuh sepanjang tahun ini, boleh disimpulkan lebih banyak yang indah daripada menyedihkan. Alhamdulillah, semuanya lancar dan tersusun seperti mana diharapkan,” katanya.

Meskipun tanpa filem dan hanya bersandarkan satu drama serta beberapa telefilem, Tiz yang melonjak naik melalui siri Nur Kasih tidak ralat atau bimbang kerana sememangnya sejak dulu dia tidak meletakkan kuantiti sebagai sasaran, sebaliknya kualiti yang diutamakan.

Mengakui selektif dalam pemilihan karya dan watak untuk menjamin bertahan lama dalam arena yang dipilih, Tiz percaya hasilnya lebih memuaskan, malah apa yang dipersembahkan akan lebih melekat di hati penonton.

“Tak ada apa yang kurang walaupun tiada filem. Jadual tahun ini penuh memandangkan penggambaran dua drama yang saya bintangi makan masa panjang untuk disiapkan.

“Dejavu Di Kinabalu ambil masa tiga bulan manakala Cinta Jangan Pergi pula lebih tiga bulan. Sambil-sambil itu jayakan telefilem Biarlah Rahsia dan Sabar Oh Sabar.

“Kalau tengok jumlah tawaran, sama saja seperti sebelum ini. Malah, ada juga filem dan pementasan teater tetapi terpaksa lepaskan demi dua drama ini.

“Sayang memang sayang, tetapi saya tak menyesal kerana hasil Dejavu Di Kinabalu dan Cinta Jangan Pergi berbaloi. Saya puas hati dengan hasil dan kualiti dua drama ini.

“Lagipun menerusi dua drama ini, banyak pengalaman baru saya raih seperti mendaki Gunung Kinabalu dan menjejakkan kaki di London. Soal kuantiti memang saya tak pernah titik beratkan selama ini.

“Dalam bidang ini, saya kena jadi lebih eksklusif dan pilih karya berkualiti. Tak boleh tangkap muat kerana impaknya akan lebih terasa. Insya-Allah, tahun depan saya akan membintangi filem dan kemungkinan besar terbabit dengan pementasan teater muzikal selain drama serta telefilem.

“Jika ikut tawaran, jadual saya padat hingga Jun. Saya akan susun jadual betul-betul supaya tidak terlepas tawaran menarik. Kalau ada penggambaran ditunda, saya tak boleh tunggu dan akan ambil tawaran lain. Mudah-mudahan karier saya lebih meriah berbanding tahun ini,” katanya.

Tampil sebagai wajah May menjadi memori paling menggembirakan pemilik nama sebenar, Siti Zaqyah Abdul Razak. Pelantikan itu disifatkan sebagai imbuhan, sekali gus pembuka dimensi baru kanvas seninya.

Apatah lagi dia membesar dengan produk berkenaan, semestinya dia bertuah apabila dilantik menjadi jurucakap jenama berpengaruh besar itu.

“Ini komitmen pertama saya sepanjang enam tahun bergelar artis. Ada beberapa lagi tawaran yang masih dalam pertimbangan.

“Bab ini saya tak boleh main redah ambil, kena fikir masak-masak. Bila jadi jurucakap produk, kita kena komited dan harus pastikan ia sesuai dengan personaliti kita,” katanya.


Tiz ada pengganti?

DALAM manis ada pahit dan detik menyedihkan bagi Tiz tidak lain tidak bukan, kisah panas berakhirnya hubungan cintanya dengan pelakon Remy Ishak.

Bagaimanapun, kata Tiz, dia reda dengan suratan takdir yang tertulis. Barangkali itu yang terbaik buatnya, malah tiada apa perlu dikesalkan.

Sepanjang menjayakan penggambaran Cinta Jangan Pergi garapan Kabir Bhatia, dia tidak kekok bergandingan dengan pasangannya dalam Nur Kasih meskipun mereka bukan lagi pasangan kekasih.

“Bila bekerja, kita kena profesional. Jangan sesekali campur adukkan hal peribadi dengan kerja. Walaupun ada dugaan, bagi saya itu adat dan perkara biasa. Tidaklah sampai mengganggu fokus kerja.

“Dalam drama ini, kami jadi pasangan kekasih dan tak ada masalah untuk kami cipta keserasian kerana sudah biasa. Kami buat apa yang skrip dan pengarah mahu,” katanya.

Diusik adakah kemungkinan untuk kasih itu kembali bertaut, Tiz terdiam seketika. Barangkali berfikir jawapan terbaik dan tidak menyinggung mana-mana pihak.

Dalam nada penuh berhati-hati dia berkata, sukar menjawab soalan cepu emas ini kerana ia di luar batas kemampuannya. Sebagai manusia, dia tidak boleh meramal apa yang berlaku, lebih-lebih lagi soal ini.

“Beginilah. Apa yang berlalu biarlah berlalu. Usah dikenang atau meletakkan apa-apa harapan lagi. Saya tak berani nak cakap lebih-lebih, apatah lagi soal membabitkan hubungan sesama manusia. Semua itu urusan Allah SWT.

“Kemungkinan untuk berpatah balik itu mungkin tidak ada agaknya. Saya tak pernah fikir perkara ini, malah kini hanya fokus pada kerjaya,” katanya.

Namun, apabila disoal benarkah tempat Remy kini terisi dengan kehadiran seseorang, sambil ketawa gadis ini cuba mengalih topik bicara. Melihat reaksi pantasnya, SELEBRITI dapat menghidu kebenaran hakikat itu.

Lama juga dia berdalih sebelum mengaku hatinya kini dimiliki, namun meminta perkara itu usah dipanjangkan kerana tidak mahu kisah peribadinya lebih dibicarakan berbanding karier seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya masih Tiz Zaqyah yang sama. Bagi saya, soal cinta biar saya simpan sendiri dan andai orang tahu, ia bukan daripada mulut saya. Saya perasan, peminat kini mula faham prinsip saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada mereka kerana dapat menerima pendirian saya yang lebih memperkatakan soal karier berbanding cerita peribadi.

“Harap pada 2013 saya dapat dekatkan diri dengan peminat. Tahun ini jadual saya padat. Bila penggambaran ambil masa panjang, kita jadi penat, tak sempat eratkan silaturahim dengan peminat,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem Xoxo arahan Kabir yang turut dibintangi pelakon Cinta Jangan Pergi, Remy Ishak dan Nadia Nisaa.

Sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment