Saturday 29 December 2012

KENANGAN 2012: 27 Selebriti Nikah Penuh Kontroversi & Meriah

Lisa sah bergelar isteri Yusry pada 23 Februari lalu dengan sekali lafaz.

PETALING JAYA: 2012 mencatat sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tanah air apabila 27 majlis perkahwinan selebriti berlangsung sepanjang tahun ini.
Bermula dengan acara ijab kabul pelakon Sherry Merlis dengan penyanyi dan komposer Ash (Gabba Gabba) pada 1 Januari lalu, kemeriahan perkahwinan artis dan selebriti sukan tanah air berlangsung hampir pada setiap bulan pada tahun ini.
Bintang bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek menoktahkan kalender perkahwinan selebriti 2012 pada majlis pernikahannya bersama usahawan Leuniey pada tarikh 28 Disember 2012 di Tumpat, Kelantan.
Majlis perkahwinan 2012 dilalui oleh para selebriti dalam keadaan meriah dan ada juga penuh dengan kontroversi. Contohnya ketika akad nikah hendak dilakukan, pasangan Ella dan Azhar Ghazali mengalami detik cemas apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus.
Mari kita imbas perjalanan perkahwinan selebriti sepanjang 2012.
Sherry Merlis & Ash (Gabba Gabba)
Nikah: 1 Januari 2012
Pasangan yang dinikahkan di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur ini mula berkenalan apabila sama-sama terlibat dalam produksi drama Cita dan Cintaarahan Azma Aizal Yusoof.
Sebelum ini Ash pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Dira Abu Zahar dan dikurniakan anak perempuan bernama Tengku Anggun Deandra, 3.
Begitu juga dengan Sherry, 40, yang pernah berumah tangga dengan Esma Daniel dan memiliki dua orang anak iaitu Habib Daniel, 18, dan Harith Daniel, 17.
Hasil perkahwinan terbaru itu, Sherry dan Ash dikurniakan anak perempuan Tengku Kaseh Anaqah, lima bulan.
Ally Iskandar & Nurfarahin Romli
Nikah: 20 Januari 2012
Pengacara popular ini berkenalan dengan isterinya, Nurfarahin Romli atau Farah, 23, menerusi pertemuan yang diaturkan ahli keluarga mereka pada hujung Ogos 2011.
Pasangan itu belum dikurniakan anak kerana Farah masih belajar di Universiti In Ha, Korea Selatan dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Namun, ujar lelaki berusia 36 tahun itu dia sudah tidak sabar menimang cahaya mata apabila Farah tamat pengajian pada hujung tahun ini.
Lisa Surihani & Yusry Abdul Halim
Nikah: 23 Februari 2012
Pelakon Lisa Surihani dan pengarah filem Yusry mengambil masa hampir setahun untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum bercinta secara serius.
Yusry mengakui Lisa telah membuka kembali pintu hatinya terhadap wanita selepas kegagalan perkahwinan lalu bersama Erra Fazira.
Hampir setahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu bagaimanapun belum dikurniakan cahaya mata.
Ana memilih pengurus sendiri, Naim sebagai suami.

Ana Raffali & Ahmad Aznaim
Nikah: 25 Februari 2012
Penyanyi dan komposer berusia 26 tahun ini mengadakan majlis perkahwinan dengan pengurus peribadi Ahmad Aznaim Abdullah, 30, dalam keadaan yang cukup ringkas.
Bermula dengan majlis pertunangan mereka pada pukul 11 pagi pada 25 Februari lalu di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, pasangan itu seterusnya bernikah kira-kira satu jam kemudian dengan sekali lafaz.
Majlis resepsi penyanyi Tolong Ingatkan Aku itu diadakan di lokasi yang sama selepas pernikahan mereka.
Amanda Misbun & Hairulzain Fauzi
Nikah: 3 Mac 2012
Pendatang baru dunia lakonan yang juga adik kepada aktres Haliza Misbun ini bernikah di rumah keluarganya di Pantai Hill Park, dekat sini tanpa publisiti meluas.
Hasil perkahwinan dengan lelaki berusia 28 tahun itu, Amanda baru sahaja dikurniakan anak perempuan pada 20 Disember lalu.
Osman Ali & Aishah Sanai
Nikah: 11 Mac 2012
Pengarah filem Ombak Rindu ini memilih jurutera dari Bintulu, Sarawak sebagai isteri selepas tiga tahun berkawan.
Pernikahan ‘low profile’ itu berlangsung di kampung halaman pengantin perempuan manakala majlis resepsi sebelah keluarga Osman pula diadakan di Pulau Langkawi, Kedah pada 2 Jun lalu.
Malek memilih pakar pediatrik Dr Wan Asma sebagai suri selepas sekian lama membujang.

Datuk Malek Noor & Dr Wan Asma Wan Ismail
Nikah: 12 Mac 2012
Bekas jaguh bina badan negara dan pelakon yang berusia 56 tahun ini mengahwini pakar pediatrik, Dr Wan Asma, 52, selepas sekian lama hidup membujang.
Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November 2011 sehingga Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas.
Wan Asma yang bergelar ibu tunggal sejak tiga tahun lalu mempunyai tujuh anak dan empat cucu manakala Malek memiliki seorang anak angkat.
Majlis nikah diadakan di kampung sebelah perempuan di Kota Bharu, Kelantan.
Azza (Elite) & Azlan Zulaily
Nikah: 1 April 2012
Jarak usia sembilan tahun tidak menghalang pelakon dan penyanyi Nor Azzarima Zawari, 34, untuk bersuamikan Azlan yang dikenali sejak dua tahun lalu.
Perbezaan umur Azlan yang sembilan tahun lebih muda daripada Azza bukan penghalang dua jiwa ini bersatu.

Ekoran kegagalan rumah tangganya sebelum ini, Azza berharap perkahwinan kali kedua ini berkekalan ke akhir hayat.
Pasangan ini diuji apabila kandungan Azza yang baru berusia enam minggu mengalami keguguran dipercayai berpunca daripada kesibukan jadual kerja wanita itu.
Natasha Hudson & Carleed Khaza
Nikah: 15 April 2012
Natasha yang berhijrah dengan imej bertudung secara tiba-tiba pada April lalu membuat kejutan berganda apabila mengumumkan majlis pernikahannya dengan komposer Carleed Khaza.
Mereka yang bercinta sejak dua tahun lalu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Perkahwinan ini merupakan kali ketiga buat Tasha dan kini aktres kacukan itu sedang hamil kira-kira lima bulan setengah.
Perkahwinan Fasha dan Jejai menamatkan segala kontroversi mengenai hubungan mereka sebelum ini.

Fasha Sandha & Rizal Ashram (Jejai)
Nikah: 27 April 2012
Hubungan aktres Fasha Sandha dengan ahli perniagaan Rizal Ashram dihempas badai kontroversi yang tidak berkesudahan sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Ironinya, segala kekecohan mengenai pasangan ini lenyap selepas mereka sah bergelar suami isteri.
Kini, Fasha sedang sarat mengandung tujuh bulan dan semakin mengurangkan aktiviti seninya buat masa ini demi memberikan tumpuan kepada kandungan dan keluarga.
Scha Al Yahya & Awal Ashaari
Nikah: 4 Mei 2012
Merpati dua sejoli ini disatukan sebagai suami isteri Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya selepas tiga tahun bercinta.
Pasangan yang diijabkabulkan sendiri oleh bapa Scha iaitu Syed Mahadzir Al-Yahya itu berbulan madu ke New York selama 10 hari selepas majlis resepsi mereka selesai.
Bagaimanapun, mereka masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata kerana kesibukan jadual seni masing-masing.
Awal dan Scha bersatu sebagai suami isteri selepas tiga tahun bercinta.

Nurul Wahab & Eric Depp
Nikah: 6 Jun 2012
Perkahwinan kedua buat penyanyi berkulit hitam manis ini berlangsung dengan meriah di Duchess Place, Jalan Ampang dekat sini pada tengah hari 6 Jun lalu.
Pasangan itu berkenalan pada September 2010 di sebuah majlis menerusi rakan pelakon Zahida Rafik.
Bagaimanapun, selepas pernikahan mereka, timbul tuduhan yang mempertikaikan kemampuan Nurul untuk membimbing lelaki berbangsa Perancis itu mendalami agama Islam ekoran penampilan seksi wanita tersebut.
Irma Hasmie & Redza Syah
Nikah: 29 Jun 2012
Aktres dan pengacara ini bertemu Redza Syah yang juga ahli perniagaan ketika mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu.
Tempoh perkenalan yang singkat bukan penghalang buat kedua-dua mempelai ini bergelar suami isteri pada satu majlis di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 29 Jun lalu.
Irma menerima tiga dinar emas sebagai mas kahwin tetapi merahsiakan jumlah wang hantaran.
Akma (AF) & Farih Hamshi
Nikah: 30 Jun 2012
Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga ini memilih eksekutif Petronas, Farih Hamshi Mohamad Fatmi, 28, sebagai suami selepas mengenalinya sejak lima tahun lalu.
Akma yang pernah putus tunang sebelum ini dinikahkan bapanya Abdullah Abdul Rahim di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur dengan sekali lafaz.
Pernikahan ratu rock Ella dengan Azhar cukup dinantikan peminat dunia hiburan.

Ella & Azhar Ghazali
Nikah: 7 Julai 2012
Pernikahan ratu rock ini mendapat perhatian seluruh peminat hiburan tanah air kerana ia adalah perkahwinan pertama buat Ella yang kini berusia 46 tahun.
Majlis yang diadakan di rumah keluarga Ella di Teluk Gadung, Klang itu diserbu kira-kira 1,000 wakil media dan peminat.
Walaupun diuji dengan insiden bekalan elektrik terputus beberapa jam pada malam pernikahan, Ella sah bergelar isteri kepada juruterbang Firefly, Azhar Ghazali, 32, dengan sekali lafaz.
Izreen Azminda & Muhd Riza Baharudin
Nikah: 30 Ogos 2012
Pernikahan Izreen dengan jurukamera Mohd Riza berlangsung di kampung halaman aktres ini di Jitra, Kedah.
Aktres yang dinikahkan sendiri oleh bapanya itu menerima wang hantaran RM19,001. Izreen kini hamil hampir tiga bulan.
Qazem Nor & Nur Azuriana Amiruddin (Embun)
Nikah: 20 Oktober 2012
Perkahwinan pelakon Qazem Nor turut mengundang kontroversi apabila penajaan majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung pada 3 November lalu ditarik pada saat-saat akhir.
Bagaimanapun, upacara pernikahan aktor yang menduda selama lapan tahun ini berjalan lancar pada 20 Oktober lalu.
Bertempat di Masjid As-Sobirin Lembah Keramat, dekat sini, Qazem sah bergelar suami kepada Embun dengan sekali lafaz.
Farid dan Diana ketika majlis pernikahan mereka di Hotel Flamingo by the Lake, Ampang pada 3 November lalu.

Diana Danielle & Farid Kamil
Nikah: 3 November 2012
Pernikahan pasangan ini berlangsung pada awal iaitu kira-kira 9 pada 3 November lalu di kawasan terbuka berhampiran tasik Hotel Flamingo by the Lake, Ampang.
Majlis perkahwinan menjadi bualan dan perhatian dengan pelbagai kontroversi. Ia termasuklah pengumuman mengejut tarikh pernikahan kurang dua bulan selepas bertunang dan kegagalan Diana menemui bapanya Danny Beeson untuk dijadikan wali pernikahan.
Malah lebih daripada itu kedua-dua pasangan tersebut berdiam diri selepas mengumumkan kehamilan Diana dan isu uniform pegawai tentera yang dipakai Farid pada majlis resepsi mereka pada 1 Disember lalu di Taman Ekuestrian Putrajaya.
Betty Benafe & Bruce Dargus
Nikah: 8 Disember 2012
Perkahwinan aktres ini hampir tidak berlaku kerana beberapa konflik sebelum itu.
Bagaimanapun, pada petang 8 Disember lalu, Betty sah bergelar isteri Bruce Dargus dengan sekali lafaz di sebuah villa di Kempas, Johor.
Betty menerima 5 dulang hantaran berbalas tujuh dan sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
Zakiah Anas & Raja Shahrul Azmi
Nikah: 12 Disember 2012
Personaliti televisyen berusia 46 tahun ini selamat dinikahkan dengan suaminya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, di Masjid Kota Damansara, dekat sini sekitar jam 11.35 pagi.
Menurut Zakiah, dia mula mengenali Azmi ketika mereka menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) 21 tahun lalu tetapi tidak sempat bercinta pada waktu itu kerana Azmi menyambung pengajian ke Jepun.
Sudah jodoh namanya, duda dan janda ini bertemu kembali pada tahun lalu dan memilih 12 Disember sebagai tarikh penyatuan mereka.
Suki Low & Jeremy Chong Low
Kahwin: 12 Disember 2012
Juara One In A Million musim pertama ini memilih ahli perniagaan dan eksekutif muzik, Jeremy Chong sebagai suami selepas lima tahun bercinta.
Menurut Suki Low atau nama sebenarnya Low Sook Yee, tarikh 12 Disember menjadi pilihan kerana ia merupakan simbolik kepada sambutan ulang tahun kelahirannya ke-23 tahun
Pada majlis yang berlangsung di Upper Penang Road, Georgetown, Pulau Pinang itu, 120 belon dilepaskan sebagai simbolik meraikan percintaan mereka.
Acong menyunting Marya sebagai isteri selepas 14 tahun terpisah.

Acong (Sweet Child) & Marya Zuraida
Nikah: 15 Disember 2012
Pernikahan duda dan janda ini berlangsung dalam suasana meriah di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.
Menariknya, Marya merupakan peminat Acong dan kumpulannya Sweet Child ketika usia remajanya.
Mereka kembali bertemu di Facebook pada 2010 selepas 14 tahun terpisah.
Siti Fazurina & Hykal Zulkifli
Nikah: 20 Disember 2012
Majlis pernikahan pelakon ini mencetuskan kontroversi apabila pemilik nama sebenar Siti Fazurina Mohd Famir, 30, didakwa tidak direstui ibu dan keluarganya.
Difahamkan, Siti Fazurina sudah menghilangkan diri daripada keluarga sebulan sebelum majlis berlangsung.
Pada majlis pernikahannya pada 20 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang, pengantin diwalikan bapa saudaranya.
Anne bernikah dengan Mohd Sumali tidak sampai tiga bulan selepas hubungan dengan Aliff Aziz berakhir.

Anne Ngasri & Mohd Sumali Reduan
Nikah: 22 Disember 2012
Kurang dua bulan hubungan aktres ini dengan penyanyi Singapura, Aliff Aziz berakhir, Anne mengejutkan dunia hiburan apabila melangsungkan pertunangan dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu di rumah keluarganya di Jalan Ipoh, dekat sini.
Anne selamat diijabkabulkan dengan duda berusia 40 tahun itu pada kira-kira pukul 11 pagi 22 Disember lalu, di rumah keluarga pengantin lelaki di Kampung Sungai Pinang, Pontian, Johor.
Pada perkahwinan kedua pelakon itu, Anne menerima mas kahwin RM22.50 dan wang hantaran RM11,111.11.
Datuk Lee Chong Wei & Wong Mew Choo
Kahwin: 9 November 2012
Majlis perkahwinan dua pemain badminton negara yang mendapat jolokan “Wedding of the Year” ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan menteri kabinet, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Nadzmi Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.
Majlis gilang-gemilang itu dihadiri kira-kira 1,500 tetamu.
Apek dan Leuniey sah bergelar suami isteri pada pagi Jumaat.

Khairul Fahmi Che Mat (Apek) & Leuniey Natasha
Nikah: 28 Disember 2012
Akad nikah penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan ini dengan pasangannya menutup tirai majlis perkahwinan selebriti sukan pada tahun ini.
Ia diadakan di rumah kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan dan diikuti majlis persandingan sebelah perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu dua hari selepas itu dengan konsep Melayu kontemporari.
Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013.
Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara, di sini.
Sumber : mStar Online

No comments:

Post a Comment