Tuesday 25 December 2012

Petanda 'lagi empat hari'

Petanda 'lagi empat hari'
Jenazah dua beradik disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ular berhampiran.




















SIMPANG PULAI – “Sehingga hari ini masih terngiang-ngiang ungkapan ‘lagi empat hari’ yang sering mereka katakan kepada saya, tak sangka itu petanda pemergian mereka,” luah nenek dua beradik yang terkorban dalam nahas membabitkan kereta dan lori di Changkat Chermin, Manjung, kelmarin.

Che Atikah Mohd Isa, 55, berkata, cucunya, Harith Danial Muhamad Syakir, 5, acap kali menyebut ungkapan ‘lagi empat hari’ itu sejak seminggu lalu. 

“Ingatkan mereka berdua mengira hari kerana tidak sabar untuk pergi ke Teluk Senangin sertai Hari Keluarga anjuran Rela Platun Sungai Tapah.

“Rupa-rupanya, ia petanda bahawa mereka akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Sungai Ular di sini, semalam.
Kedua-dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang lahad.

Menurutnya, Harith Danial juga bersungguh-sungguh mahu bertemu dengan bapanya sebelum pergi ke Teluk Senangin itu.

“Malam sebelum kejadian, Nur Aleeya Maisara, 6, seolah-olah tidak mahu berenggang dengan ibunya walaupun dipujuk beberapa kali untuk bawanya berjalan-jalan.

“Kami sekeluarga menyertai hari keluarga itu tetapi pergi secara konvoi dengan dua kereta. Kami balik (Ipoh) dulu dan mereka tinggal di belakang. Memang terkejut bila dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Kata Che Atikah, kedua-dua cucunya itu dibela sejak kecil selepas anak sulungnya, Zalikha Kamarulzaman, 26, berpisah dengan bekas suaminya.

“Mereka membesar di depan mata dengan tingkah manja mereka menyebabkan saya rindu dengan keletah mereka yang aktif dan ceria.

“Saya reda dengan pemergian mereka.  Malah, Zalikha tidak mengetahui kehilangan kedua-dua permatanya ini,” katanya dalam nada sebak.

Adik Zalikha, Zanariah Kamarulzaman, 24, berkata, kisah pemergian kedua-dua anak saudaranya itu disembunyikan dari pengetahuan kakaknya yang kini mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Zalikha mengalami retak di bahagian dagu selain tangan kirinya patah dan doktor turut x-ray di bahagian otak bimbang ada pendarahan. Keadaannya stabil dan apabila dia sedar, dia sering tanya mengenai anak-anaknya.

“Kami rahsiakan dengan mengatakan anaknya selamat kerana dengan keadaan dia begitu akan memberi kesan kepada dirinya. Bila dirinya benar-benar sihat, baru kami akan beritahunya,” katanya.

Pada masa sama, pemandu kereta yang maut dalam nahas itu, Mohd Ramli Abd Wahab, 27, telah dikebumikan di Baling, Kedah, pagi semalam.

Sementara itu, Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Mohd Khariri Abu Hassan berkata, Mohd Ramli dan  Zalikha telah berkhidmat setahun bersama pasukan sukarela itu.

“Mereka merupakan anggota yang cekap dan berdedikasi. Kita akan terus menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ramli dengan mengadakan derma kilat pada program Pemimpin bersama Rela, Sabtu ini dengan kehadiran lebih 2,000 anggota.

“Sumbangan itu akan kita sampaikan terus kepada waris yang terdekat selain menyelesaikan tuntutan insuran terhadap Allahyarham Mohd Ramli,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment