Sunday 12 May 2013

Adira dalami ajaran Islam

MANIS bertudung namun ini bukanlah penampilan tetap Adira.


FIGURA Siti Adira Suhaimi yang lebih dikenali sebagai Adira berterusan dihimpit cerita sensasi. Tidak habis dengan kes percintaannya dengan penyanyi Alif Aziz, kini nama penyanyi itu terpalit satu lagi kisah kontroversi.
Cerita terbaharu yang menjadi topik perbualan peminat sejak beberapa hari lalu ialah mengenai perubahan penampilan penyanyi lagu Ombak Rindu itu yang didakwa sudah mula berhijab.
Beberapa keping gambar Adira yang mengenakan tudung sudah mula tersebar di internet sejak minggu lepas. Di sebalik cakap-cakap peminat itu, ada yang mengesahkan bahawa Adira sudah mula menutup aurat.
Tidak mahu mereka terus berteka-teki, Adira lantas bersuara: "Saya masih belum bertudung sebenarnya. Gambar yang tersebar itu adalah ketika saya menghadiri kelas agama. Bagi menghormati majlis, saya telah mengenakan tudung."
Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, isu tersebut mula timbul apabila akaun laman sosial Facebook miliknya digodam sehingga menyebabkan beberapa kenyataan mengelirukan dikeluarkan oleh penggodam.
"Ini kali kedua akaun Facebook saya digodam. Sejak itu macam-macam kenyataan yang keluar di situ termasuklah kononnya saya sudah bertudung.
"Oleh kerana tidak mahu nama saya terjejas dengan posting yang keterlaluan sebegitu, saya sudah membuat laporan polis beberapa hari lepas," katan penyanyi lagu Ilusi itu.
Salah satu kenyataan yang dikeluarkan penggodam dan menjadi topik perbualan berbunyi: "Saya takut mimpi saya masa tidur tiga minggu lalu. Saya terbayang-bayang hingga sekarang. Saya melihat perempuan yang rambutnya panjang diseksa. Mereka menangis terjerit-jerit. Saya panik, lantas saya bangkit daripada tidur dan mulai terfikir-fikir mimpi saya itu. Alhamdulillah saya mulai memakai tudung yang saya tinggalkan sebelum menjadi artis."
Kenyataan itu antara yang panas dan menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat Adira di internet.
Dalam pada itu, gadis kelahiran Ranau, Sabah itu menegaskan bahawa dia belum bersedia untuk berhijrah atau tampil dengan gaya bertudung buat masa ini.
"Insya-Allah, bila tiba masanya nanti saya akan bertudung juga tanpa dipaksa oleh sesiapa. Sekarang biarlah saya mendekatkan diri dengan ilmu agama dahulu. Tetapi karier saya dalam bidang nyanyian tetap diteruskan kerana ia adalah sumber pendapatan saya," katanya.
Adira kini sering menyertai kelas agama Usrah Fitrah setelah dipelawa oleh rakannya yang merupakan peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Heliza Helmi. Dia tertarik setelah Heliza berkongsi pengalamannya ketika sama-sama mengadakan persembahan di Perlis baru-baru ini.
Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment