Showing posts with label Artis bertudung. Show all posts
Showing posts with label Artis bertudung. Show all posts

Tuesday, 29 October 2013

Mizz Nina Bertudung Selepas Bergelar Hajah


Wajah terbaharu Mizz Nina yang dimuatkan dalam Instagram suaminya, Noh. 
PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29.
Pegawai perhubungan awam penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.
"Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.
"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.

Dipetik dari Instagram Mizz Nina. 
Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.
"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.
"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe.
Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim,
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Sunday, 12 May 2013

Adira dalami ajaran Islam

MANIS bertudung namun ini bukanlah penampilan tetap Adira.


FIGURA Siti Adira Suhaimi yang lebih dikenali sebagai Adira berterusan dihimpit cerita sensasi. Tidak habis dengan kes percintaannya dengan penyanyi Alif Aziz, kini nama penyanyi itu terpalit satu lagi kisah kontroversi.
Cerita terbaharu yang menjadi topik perbualan peminat sejak beberapa hari lalu ialah mengenai perubahan penampilan penyanyi lagu Ombak Rindu itu yang didakwa sudah mula berhijab.
Beberapa keping gambar Adira yang mengenakan tudung sudah mula tersebar di internet sejak minggu lepas. Di sebalik cakap-cakap peminat itu, ada yang mengesahkan bahawa Adira sudah mula menutup aurat.
Tidak mahu mereka terus berteka-teki, Adira lantas bersuara: "Saya masih belum bertudung sebenarnya. Gambar yang tersebar itu adalah ketika saya menghadiri kelas agama. Bagi menghormati majlis, saya telah mengenakan tudung."
Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, isu tersebut mula timbul apabila akaun laman sosial Facebook miliknya digodam sehingga menyebabkan beberapa kenyataan mengelirukan dikeluarkan oleh penggodam.
"Ini kali kedua akaun Facebook saya digodam. Sejak itu macam-macam kenyataan yang keluar di situ termasuklah kononnya saya sudah bertudung.
"Oleh kerana tidak mahu nama saya terjejas dengan posting yang keterlaluan sebegitu, saya sudah membuat laporan polis beberapa hari lepas," katan penyanyi lagu Ilusi itu.
Salah satu kenyataan yang dikeluarkan penggodam dan menjadi topik perbualan berbunyi: "Saya takut mimpi saya masa tidur tiga minggu lalu. Saya terbayang-bayang hingga sekarang. Saya melihat perempuan yang rambutnya panjang diseksa. Mereka menangis terjerit-jerit. Saya panik, lantas saya bangkit daripada tidur dan mulai terfikir-fikir mimpi saya itu. Alhamdulillah saya mulai memakai tudung yang saya tinggalkan sebelum menjadi artis."
Kenyataan itu antara yang panas dan menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat Adira di internet.
Dalam pada itu, gadis kelahiran Ranau, Sabah itu menegaskan bahawa dia belum bersedia untuk berhijrah atau tampil dengan gaya bertudung buat masa ini.
"Insya-Allah, bila tiba masanya nanti saya akan bertudung juga tanpa dipaksa oleh sesiapa. Sekarang biarlah saya mendekatkan diri dengan ilmu agama dahulu. Tetapi karier saya dalam bidang nyanyian tetap diteruskan kerana ia adalah sumber pendapatan saya," katanya.
Adira kini sering menyertai kelas agama Usrah Fitrah setelah dipelawa oleh rakannya yang merupakan peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Heliza Helmi. Dia tertarik setelah Heliza berkongsi pengalamannya ketika sama-sama mengadakan persembahan di Perlis baru-baru ini.
Sumber : Kosmo
Reply To This Comment

Tuesday, 16 April 2013

Kunjungan Ke Mekah Buka Hati Alyah Untuk Bertudung

Alyah selesa dengan penampilannya bertudung. Foto milik Instagram Alyah
 
PETALING JAYA: Kunjungan penyanyi Alyah ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 27 Mac hingga 11 April lalu telah melancarkan niat sucinya untuk bertudung.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, hasrat memakai tudung telah lama dipendamkan namun selepas satu kejadian berlaku ketika menunaikan umrah, dia mula terdetik untuk terus bertudung.

"Alhamdulillah, sejak menunaikan umrah, saya nekad untuk terus berimej sebegini. Perubahan ini juga disebabkan satu insiden yang tidak boleh saya kongsi di sini di mana ia membuatkan hati saya terbuka untuk mengubah imej saya.

"Tambah pula dengan usia yang semakin meningkat, sudah tiba masa untuk saya berubah ke arah kebaikan.

Alyah bersama Rozita, pengendali syarikat pelancongan yang membawanya ke Mekah.
 
"Saya percaya apa yang dilakukan sekarang ini adalah untuk masa depan sendiri. Sebelum ini saya tercari-cari dan tertanya-tanya dengan pelbagai nasib buruk yang menimpa ke atas diri saya.

“Tetapi apabila difikirkan balik, mungkin ada hikmah atas segala kejadian yang berlaku sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Tambah Alyah, memandangkan para peminat sebelum ini mengenalinya menerusi fesyen-fesyen yang digayakan, dia juga tetap akan tampil dengan gaya menarik walaupun bertudung litup.

"Saya sukakan fesyen dan saya masih lagi Alyah yang dulu. Cuma penampilan sahaja yang berubah.

"Sekarang ini saya kembali membuat pelbagai kajian dan memikirkan fesyen-fesyen bertudung yang sesuai untuk saya," tuturnya.

Ditanya apakah komen kekasihnya Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS berhubung perubahannya itu, kata Alyah, konduktor muzik terkenal itu memberi sokongan sepenuhnya dengan penampilan baru itu.

"Alhamdulillah dia cakap 'baguslah, ia baik untuk awak’," selorohnya.
Tambah Alyah, hubungannya dengan Ramli masih lagi dalam proses perkenalan dan mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Friday, 8 February 2013

'Jangan Hina Orang Tidak Bertudung' - Catriona Ross

Imej terbaharu Catriona Ross 
PETALING JAYA: Pelakon Catriona Ross menasihati sesiapa sahaja termasuk artis yang bertudung agar tidak menghina individu lain kerana Allah boleh menarik semula hidayah itu sekelip mata.
Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, agak sedih kerana terdapat individu yang mendakwa sudah memperoleh hidayah tetapi masih merendah-rendahkan orang lain dengan kata-kata yang kurang manis.
“Saya sedih dengan sesetengah pihak yang sudah berubah tetapi cuba memperlekehkan orang lain yang tidak bertudung. Jangan buat macam itu! Setiap manusia ada fasanya dan Allah itu boleh tarik bila-bila masa sahaja hidayah yang diberi,” katanya kepada mStar Online.
Pelakon ini diminta memberi pandangan mengenai artis-artis wanita sejak kebelakangan ini mengambil pendekatan menutup aurat.
Catt yang sudah bertudung sejak tiga tahun lalu berkata, setiap individu yang telah diberi petunjuk haruslah tidak berusaha untuk merenggangkan diri dengan rakan-rakan yang masih lagi belum berubah sebaliknya terus berkawan dengan mereka sebagai sahabat baik.
Malah orang atau artis yang bertudung seharusnya menjadi contoh kepada individu lain agar perubahan itu dapat diikuti oleh teman-teman mereka.
“Saya mengambil sikap berkawan dengan semua orang tidak kiralah mereka pakai tudung ataupun tidak. Saya percaya apabila Allah mengetuk pintu hati seseorang untuk berubah, dia akan berubah.
“Begitulah apabila orang yang sudah menutup aurat, tidak mustahil dia akan pakai skirt pendek semula jika tewas dengan ujian Allah,” tambahnya lagi.
Sementara itu ketika ditanya ke mana dia menghilang selepas berumah tangga Catt berkata, selepas melahirkan anak pertama iaitu Sephia Rani Ross’iddin yang kini berusia tiga tahun, Catt mengambil pendekatan berehat sebentar daripada dunia lakonan untuk membesarkan anaknya itu.
Malah dia juga bimbang anaknya dijaga pembantu rumah kerana ketika dilahirkan, kes-kes bayi dilarikan orang gaji agak berleluasa.
“Dulu saya memang takut nak ambil pembantu rumah. Takut anak dibawa lari. Lebih baik saya senyap sekejap dan beri tumpuan pada anak sehinggalah dia dah besar, barulah saya nak aktif berlakon semula,” katanya.
Jelas Catt selain Sephia Rani, dia juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Jammal Raess Ross’iddin yang baru berusia enam bulan, hasil perkahwinannya dengan Shaharuddin Mokhtaruddin, 34.
Bagaimanapun kali ini Catt telah mendapat seorang pembantu rumah yang benar-benar boleh dipercayai untuk menjaga anak-anaknya agar membolehkan dia berlakon.
Kata Catt, pada ketika ini dia sedang aktif berlakon drama Bila Mak Mengandung Lagi untuk siaran Astro.
Malah dia tidak menganggap perubahan imejnya sebagai wanita bertudung telah mengehadkan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon.
“Saya mahukan pelbagai jenis watak dan saya tidak kisah kalau diberikan watak wanita jahat yang bertudung. Tidak semestinya kalau kita bertudung, kita harus berimej baik.
“Cuma, jika watak berpegangan tangan atau berpelukan dengan lelaki itu sahajalah yang perlu saya tolak,” katanya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment