Wednesday 8 May 2013

Dengar jeritan jam 1 pagi


Dengar jeritan jam 1 pagi
Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah kereta yang dinaiki merempuh sebuah rumah di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan.
KUANTAN -  Hasrat seorang pemilik rumah untuk masuk tidur awal pagi semalam terbantut apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan rumahnya yang terletak di tepi Jalan Tanjung Lumpur di sini, semalam.

Lebih memeranjatkan apabila bunyi dentuman kira-kira jam 1 pagi  itu disusuli suara jeritan meminta tolong sehingga mendorong Nor Ashikin Awang, 38 memberanikan diri keluar melihat kejadian yang berlaku.

Menurutnya, sebaik keluar, dia ternampak  tiga lelaki berlumuran darah tersepit dalam sebuah kereta yang melanggar tiang rumahnya.

Dalam kejadian  itu seorang peniaga, Mohd Khaidil Ismail, 25, terbunuh manakala dua adiknya, Mohd Nazri Ismail, 20, dan Mohd Hassan Ismail, 18, cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka  hilang kawalan dan merempuh tiang pagar rumah terbabit.

Nor Ashikin berkata, dia  melihat pemandu kereta yang parah di bahagian muka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun cuba dikejutkan  orang ramai beberapa kali.

“Ketika itu saya rasa dia (Khaidil) masih bernyawa namun disahkan meninggal dunia sejurus tubuhnya berjaya  dibawa keluar oleh anggota bomba dari kenderaannya yang remuk,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, semalam.

Menurutnya, sejak tinggal di situ lebih 20 tahun lalu, rumahnya sudah enam kali dirempuh kenderaan yang terbabas.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000, saya tetap bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dialami ahli keluarga dalam kejadian itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Nurliza Che Noh, 50, berkata, ketiga-tiga anaknya keluar dari rumah mereka di Kampung Lepar Baru, Tanah Putih, Pekan kira-kira jam 9 malam kelmarin untuk ke Hospital Pekan selepas Mohd Khaidil mengadu sakit kepala.

Menurutnya, dia hanya  mampu mengurut dada apabila dimaklumkan salah seorang saudara mengenai kejadian itu.

“Pada mulanya saya tidak percaya  kerana mereka (anak) memberi tahu hendak ke hospital.

“Saya tidak tahu pula mereka pergi ke Kuantan tapi sebagai ibu, saya reda pemergiannya dan bersyukur dua lagi anak saya selamat,” katanya sambil menahan sebak.

Anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Bukit Ubi  mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari arah bandar Kuantan  menuju ke rumahnya di Pekan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Iswara yang dipandu Mohd Khaidil hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh sebuah rumah di tepi jalan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi adiknya cedera parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan manakala dua lagi adiknya turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment