Kebakaran: Abang selamatkan tiga adik
Wan Syarifah menunjukkan keadaan lecur di bahu kanan Alif Hazim selepas terkena serpihan kayu dalam kebakaran semalam.
KOTA BHARU - Seorang abang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan tiga adiknya dari kebakaran dalam kejadian di Kampung Tanjung Mas di sini petang semalam.

Tindakan pantas kanak-kanak berusia enam tahun itu yang mendukung tiga adiknya turut dibantu oleh orang awam yang berada di kawasan berdekatan, berjaya menyelamatkan nyawa empat kanak-kanak itu dari kebakaran, walaupun salah seorangnya mengalami lecur di bahu kanan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Afiq Hadi Mohd Hakimi, 6, bertindak nekad mendukung Alif Hazim, 5, Aqil Imtiyaz, 1, dan Aufa Imtiyaz, 3, yang dipercayai berada di dalam bilik selepas melihat asap dan api yang bermula dari bilik utama dan kemudiannya terus merebak ke seluruh rumah itu.

Menurut ibunya, Wan Syarifah Shahrizat Wan Idris, 37, ketika kejadian dia meninggalkan keempat-empat anaknya di dalam rumah untuk mengambil anak sulungnya, Alia Insyirah, 8, di Sekolah Kebangsaan (SK) Chempaka dengan motosikal.

“Belum pun sampai ke sekolah, saya nampak kepulan asap hitam yang tinggi, kira-kira 100 meter dari rumah dan terus berpatah balik kerana bimbangkan keadaan anak-anak yang ditinggalkan.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat api begitu marak dan terus membakar keseluruhan rumah dan juga rumah jiran sebelah yang ketika itu tiada di rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas melihat kejadian itu dia terus meninggalkan motosikal di tepi jalan dan bergegas mendapatkan keempat-empat anaknya yang menunggu di luar rumah bersama jiran-jiran yang turut membantu menyelamatkan mereka.

“Mengikut kata jiran, Afiq bertindak berani selepas mendukung ketiga-tiga adiknya yang ketika itu ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan sesiapa.

“Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, mujurlah semuanya selamat. Lemah juga lutut saya melihatkan kejadian itu, namun saya bersyukur kerana kesemua anak-anak saya selamat walaupun adiknya, Afiq Hazim mengalami lecur dan keseluruhan barangan rumah dan kereta kancil yang diparkir di tepi rumah tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Sabri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.57 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 2.01.

“Lima jentera termasuk dari Kota Bharu dan Pengkalan Chepa dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan 21 anggota.

“Api dapat dikawal jam 2.09 petang dan semasa bomba tiba di tempat kejadian sudah hampir 90 peratus rumah terbabit hangus. Walaupun api marak begitu cepat namun kita berjaya mengawalnya dari terus merebak ke rumah berdekatan,” katanya.

Mohd Sabri berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap punca dan kerugian berhubung kejadian itu.
Sumber : Sinar Harian