Monday 20 May 2013

Dua maut ketika berkonvoi ke Desaru



KEADAAN dua mayat mangsa yang terlibat kemalangan di Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI - Keseronokan 40 ahli kelab motosikal Honda Wave berkonvoi dari Selangor ke Desaru, Johor berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kulai-Kota Tinggi kelmarin.
Kejadian pukul 4.30 petang itu mengakibatkan Muhammad Fadzirul Hakimi Abd. Rahman, 21, dari Klang dan Muhammad Adib Jasmani, 23, dari Banting maut di tempat kejadian.
Kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan selepas motosikal yang ditunggang bergesel sesama sendiri sebelum mereka dirempuh sebuah van yang datang dari arah bertentangan.
Seorang peserta konvoi, Firdaus Aqmal, 23, memberitahu, mereka bertolak dari Selangor pada pukul 10 malam Jumaat lalu dan sempat singgah di Skudai dan Kulai.
Dia yang juga saudara Muhammad Adib berkata, ketika singgah di Skudai, dia dan arwah menunaikan solat Subuh sebelum mangsa memberitahu yang dia penat dan mengantuk.
"Kami kemudian tidur sebelum meneruskan perjalanan ke Kulai pada pukul 7 pagi. Di Kulai, arwah hanya makan sedikit walaupun banyak mengambil nasi dan lauk sebelum bergerak semula pada pukul 2 petang.
"Saya berada di kelompok belakang manakala arwah di tengah. Ketika dilanggar, saya lihat Muhammad Fadzirul sudah meninggal dunia manakala Muhammad Adib masih bernafas," katanya ketika ditemui.
Sumber : Kosmo

1 comment: