Tuesday 21 May 2013

Anak didakwa tumbuk ibu hanya kerana wang



Hanya disebabkan tidak dapat wang
Remaja lelaki ini mengaku bersalah mencederakan ibu dan kakaknya di Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur bukan sahaja tergamak memanggil ibunya dengan panggilan ‘ibu anjing’, malah lebih melampau, dia sanggup menumbuk kepala dan memulas tangan mangsa hanya disebabkan permintaannya mendapatkan wang tidak diendahkan.

Bukan itu sahaja, remaja berumur 18 tahun dari Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di sini, turut mengaku menumbuk dan menendang kakak sulungnya dalam kejadian itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Bagaimanapun, nasibnya yang berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan akan ditentukan pada 25 Jun depan selepas Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan tarikh berkenaan sebagai tarikh jatuh hukum.

Terdahulu, remaja itu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan kedua-dua mangsa dalam kejadian di rumah mereka, pada 13 Mei lalu, kira-kira jam 9 pagi.

Remaja berkenaan turut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah mengugut membunuh mangsa dalam kejadian berkenaan.

Bagi pengakuan tidak bersalah itu, Rozianti turut menetapkan tarikh 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi.

Manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
Sumber : Sinar Harian

1 comment: