Monday 1 July 2013

Shahrizal Jazsle Akui Semakin Tertekan Dengan Isu Khalwat

Shahrizal Jazsle. 
PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melandanya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kejadian itu oleh pelbagai pihak.
Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan untuk bermuhasabah tentang kejadian khalwat itu.
"Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya.
"Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu.
Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungan dengan tunangnya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.
Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun ini.
"Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri.
"Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya.
Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.
Sumber : mStar Online

No comments:

Post a Comment