Sunday 21 July 2013

Maut di tingkap dapur

Maut di tingkap dapur
Salah seorang penduduk melihat tingkap yang meragut nyawa Sherol Aizam dalam kejadian kelmarin.
IPOH - Sangkaan seorang lelaki dirinya dapat melepasi tingkap sebuah rumah di Lengkok Kledang Raya, Taman Saz, di sini meleset dan dia ditemui mati dalam keadaan tersepit pada jeriji besi tingkap rumah berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 malam dan mangsa, Sherol Aizam Rashid, 27 ditemui oleh tuan rumah dalam keadaan hanya memakai seluar pendek (boxer) dengan separuh badannya tersangkut pada tingkap dapur rumah berkenaan.

Beliau berkata, maklumat berhubung kejadian diterima daripada pemilik rumah yang baru pulang dari berniaga dan anggota polis tiba di lokasi kejadian pada jam 12.15 pagi.

"Anggota yang tiba di lokasi ketika itu mendapati tubuh mangsa sudah kebiru-biruan dipercayai kesan keadaan dirinya yang tersepit pada jeriji besi tingkap dapur rumah berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas pemilik rumah mendapati dia tidak berada di rumah ketika kejadian. Dia (pemilik rumah) mendengar suara orang di bahagian dapur ketika tiba di rumah dan segera menghubungi polis selepas melihat lelaki itu," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Chang Keong berkata, polis terpaksa memotong jeriji besi untuk mengeluarkan mangsa sebelum menelefon ambulans untuk bantuan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika tiba di tempat kejadian.

Chang Keong turut memaklumkan bahawa, berdasarkan laporan bedah siasat mangsa didapati meninggal dunia akibat ‘postural asphyxia’, iaitu sesak nafas akibat tersepit dan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.

"Baju, seluar dan kasut mangsa ditemui dalam singki dapur rumah berkenaan dan jika waris tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat, mereka mempunyai hak untuk memohon bedah siasat dijalankan untuk kali kedua.
"Waris mangsa juga boleh membuat laporan polis jika mereka tidak berpuas hati dan kita akan ambil tindakan berdasarkan laporan polis yang dibuat," katanya.

Bagaimanapun tiada penjelasan punca dan tujuan sebenar lelaki tersebut memasuki rumah terbabit dimaklumkan kepada media.

Dengar jeritan minta tolong

Pemilik rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Chen, 55 berkata, ketika kejadian dia baru pulang selepas membantu isterinya berniaga makanan di Pasir Putih.

"Sebaik tiba di rumah saya dengan orang menjerit minta tolong dan saya terkejut melihat orang itu tersangkut di tingkap dapur rumah saya. Saya segera telefon polis untuk dapatkan bantuan," katanya.

Chen memaklumkan dia turut membuat satu laporan polis mendakwa dirinya diugut beberapa individu dan rumahnya dibaling dengan batu selepas kejadian itu.

Kedudukan rumah Chen serta rumah mangsa difahamkan berhampiran antara satu sama lain dengan hanya dipisahkan oleh dua buah rumah.

Bapa soal hasil bedah siasat

Sementara itu, bapa mangsa, Rashid Fuad, 50 memberitahu, kali terakhir dia bercakap dengan anak sulungnya itu adalah pada petang hari kejadian ketika mangsa menghubunginya untuk meminjam wang.

"Saya tak ada di rumah ketika itu, jadi saya suruh dia (Sherol Aizam) datang ke rumah pada waktu malam untuk ambil wang memandangkan dia menyewa bersama rakannya di Buntong.

"Saya sedih bila secara tiba-tiba diberitahu oleh isteri, anak saya meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati," katanya yang mendakwa terkilan selepas tidak dibenarkan melawat jenazah mangsa.

Rashid berkata, isterinya, Zaiton Hassan, 45 serta beberapa ahli keluarga yang melawat jenazah mangsa pada jam 8 pagi semalam mendakwa telah melihat terdapat kesan lebam pada dada, tangan, leher dan kepala mangsa.

Katanya, maklumat berkenaan membuatkan dia merasa tidak puas hati dengan keputusan bedah siasat yang menyatakan mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit.

"Saya akan buat laporan polis berhubung perkara ini untuk memohon bedah siasat kali kedua diadakan," katanya yang tidak menandatangani surat pengesahan kematian dikeluarkan pihak hospital.

Dalam pada itu, Rashid mengakui tindakan mangsa yang dilihat seakan-akan cuba menceroboh rumah orang lain merupakan satu kesalahan, namun tetap merasa sedikit ralat kerana kematian anaknya itu seolah-olah perbuatan khianat.
Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment