Tuesday, 29 October 2013

'Fizo cinta pertama saya'

  • Fizo Omar
"FIZO adalah cinta pertama saya dan sebelum ini saya tidak pernah bercinta kerana begitu dijaga oleh keluarga," akui bakal isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim,24, kepada media.

Sebelum itu, pelakon kacak, Fizo Omar atau sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, melamar bakal isterinya dalam suasana penuh romantis di Cathay Cinneplex, e@Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Mengakui agak terkejut dengan majlis itu Mawar berkata, Fizo mengajaknya menonton wayang sebelum menghadiri sidang media yang dikatakan akan diadakan pada sebelah petang.

Bagaimanapun, dia dapat merasakan sesuatu akan berlaku apabila muncul babak lakonan Fizo bersama pelakon cilik, Mia Sara di layar dan turut melibatkan ibunya juga.

"Fizo kata petang nanti (semalam) ada sidang media untuk umumkan tarikh perkahwinan kami dan dia ajak saya menonton wayang terlebih dahulu.

"Memang pelik dan terdetik juga, 'biar betul dia ni', tapi saya ikutkan sahaja. Malah selepas masuk dalam pawagam dan dia minta izin untuk ke tandas, saya masih tidak rasa apa-apa sehinggalah muncul video tersebut baharu saya rasa sesuatu," katanya.

Berkongsi kejutan yang dibuat untuk Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia jugalah yang mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu.

Katanya, ia adalah sebagai satu tanda ingatan mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.

"Malah,  ia juga berkisar mengenai perjalanan hidup kami dan lega rasanya apabila rancangan ini menjadi kerana bimbang juga jika ‘terkantoi’,” katanya.
Fizo berkata, dia yakin Mawar akan berkata 'ya' dan perkara itu turut diakui oleh Mawar sendiri :

"Sudah tentu saya kata ‘ya’ kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya,” jelasnya.


Kahwin dua minggu lagi

Dalam pada itu, Fizo juga turut mengumumkan akan mengikat tali pertunangan pada 9 November depan diikuti dengan majlis pernikahan mereka pada keesokan harinya, iaitu pada 10 November depan.

Kedua-dua majlis itu akan diadakan di kediaman Mawar di Country Heights, Kajang dan disiarkan secara langsung di TV9 menerusi ‘Nasi Lemak Kopi O’.

"Kedua-dua majlis akan disiarkan secara langsung menerusi rancangan Nasi lemak Kopi O di TV9. Malah pada majlis pertunangan itu nanti akan ada sedikit kejutan manakala majlis pernikahan akan berjalan seperti biasa," katanya.

Fizo berkata, mereka mengambil keputusan bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.

Tambahnya, selepas majlis pertunangan pada sebelah pagi, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berinai pada sebelah malam yang akan dihadiri sanak saudara Mawar sahaja.

“Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya,” katanya.


Bisnes 'burgedung'

Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.

“Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, beberapa perancangan perniagaan sudah dibuat selepas mereka berkahwin nanti.

"Selepas berkahwin, kami akan terlibat dengan perniagaan 'burgedung' (ketawa), campuran perniagaan burger dan tudung.

"Seperti sedia maklum saya kini menguruskan perniagaan burger yang sudah mempunyai 50 cawangan di Kuala Lumpur dan Kelantan. Saya merancang meluaskan perniagaan ini ke Johor selepas berkahwin.

"Jadi saya sarankan pada Mawar  buka ibu pejabat di Johor dan Kelantan selepas ini kerana hanya di dua negeri itu sahaja tiada ibu pejabat Fareeda. Jadi bila saya ke Johor melihat perniagaan saya, Mawar juga boleh jenguk syarikat dia.

"Sebab itulah saya pilih Mawar kerana kami sama-sama minat dalam  perniagaan. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya tetap akan aktif dengan dunia seni kerana itu minat utama saya," katanya.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Mizz Nina Bertudung Selepas Bergelar Hajah


Wajah terbaharu Mizz Nina yang dimuatkan dalam Instagram suaminya, Noh. 
PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina mengesahkan yang dia kini sudah pun berhijab selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada Jumaat lalu bersama suaminya vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, 29.
Pegawai perhubungan awam penyanyi wanita itu, Joe Saiful, berkata, Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 33, bagaimanapun memberitahu dia masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.
"Buat masa ini Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.
"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.

Dipetik dari Instagram Mizz Nina. 
Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.
"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.
"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," tutur Joe.
Miz Nina juga merupakan anak kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Malaysia, Tan Sri Azman Hashim,
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Almy Nadia Jual Karipap, Putus Tawaran Berlakon


Walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon namun Almy tidak mahu meraih simpati daripada mana-mana pihak. 
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia terpaksa menjadi penjual karipap untuk menyara hidup selepas kurang mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu.
Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, perniagaan kecil-kecilan itu dilakukan bersama ibunya sepanjang menetap di kampung halamannya di Pulau Pinang.
"Tawaran berlakon memang sudah lama tidak ada jadi daripada saya duduk tanpa berbuat apa-apa adalah lebih baik saya lakukan sesuatu untuk mengisi masa lapang dan mencari duit lebih seperti menjual karipap.
"Alhamdulillah karipap yang dihasilkan bersama ibu iaitu inti kentang, ayam, daging dan sardin mendapat sambutan. Ada kalanya kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar," katanya kepada mStar Online.
Tambah Almy, hasil penjualan karipap tersebut dapat membantu meringankan beban untuk dia dan ibunya menampung kehidupan di kampung.
"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa walaupun tidak lagi mendapat tawaran berlakon dan sekurang-kurangnya rezeki menjual karipap itu halal.

"Malah jika ada yang menjemput menghadiri acara hiburan dengan bayaran RM100 pun saya terima kerana itu adalah rezeki saya," katanya.
Dalam pada itu, Almy berkata, kemunculan ramai artis wanita baharu turut menjadi penyebab dia tidak lagi dipilih untuk membintangi drama atau filem daripada pihak produksi.
Tambah Almy, sikapnya yang tidak pandai untuk melobi kepada penerbit dan pengarah juga turut menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.
"Perasaan rindu hendak berlakon itu memang ada tetapi nak buat macam mana tawaran memang tiada. Hendak meminta-minta saya segan kerana saya tidak pandai melobi penerbit.
"Tambahan pula pelakon wanita baharu semakin ramai dan lebih menyerlah berbanding diri saya yang tidak seberapa ini," katanya merendah diri.
Bagaimanapun kata Almy, dia tidak pernah meminta simpati sebaliknya berharap pihak produksi memandang kepada bakat lakonannya untuk diambil berlakon dalam drama terbitan mereka.
Kepada mana-mana produksi yang bersimpati terhadap Almy bolehlah memanggilnya berlakon.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Thursday, 24 October 2013

Sharnaaz Sudah Temui Pekin Selesaikan Tuduhan Jadi Perampas


Sharnaaz Ahmad 
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad telah bertemu dengan aktor Pekin Ibrahim pada malam Rabu (semalam) bagi meleraikan tuduhan kononnya dia menjadi penyebab hubungan Pekin dengan Uqasha Senrose putus.
Sharnaaz, 28, berkata, dalam pertemuan itu dia menjelaskan tuduhan mempunyai hubungan sulit dengan Uqasha adalah satu fitnah sementara hubungan mereka tidak lebih daripada seorang rakan sekerja.
“Saya berjumpa dengan Pekin untuk berbincang bagaimana hal ini boleh terjadi. Dan syukurlah Pekin faham penjelasan saya dan dia minta maaf kerana salah faham terbabit.
“Saya percaya, ada pihak yang menyampaikan cerita tidak betul kepada Pekin untuk melaga-lagakan kami,” jelas Sharnaaz ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 32, mendakwa tunangnya iaitu Uqasha Senrose, 21, sudah beberapa kali berlaku curang termasuklah menjalinkan hubungan sulit dengan Sharnaaz Ahmad.
Malah Pekin turut mendakwa mempunyai bukti terhadap tuduhan bekenaan.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, pula menerusi laporan yang sama menafikan dakwaan Pekin sebaliknya menuntut pelakon itu mengemukakan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan selain mendakwa kekasihnya seorang yang panas baran.
Kedua-dua pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.
Ikuti jawapan Sharnaaz berhubung isu itu.
Uqasha dan Pekin mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu. 
Bagaimana reaksi Sharnaaz apabila dikatakan menjadi orang ketiga sehingga terputusnya hubungan Pekin dan Uqasha Senrose?
Pada mulanya saya agak terkejut kerana lepas satu kontroversi, satu lagi kontroversi melibatkan saya, namun pengalaman lalu membuatkan saya lebih bertenang dan berfikir jalan terbaik untuk menyelesaikannya.
Apakah tindakan Sharnaaz untuk menyelesaikan masalah ini?
Sejurus selepas mendapat tahu berita itu, saya terus mengatur pertemuan dengan Pekin (pada Rabu) dan saya menjelaskan perkara sebenar iaitu hubungan sulit yang didakwa berlaku antara saya dan Uqasha adalah tidak benar sama sekali. Saya beritahu dia bahawa ia hanya hubungan seperti rakan sekerja dan saya yakin ada orang lain yang menyampaikan berita yang bukan-bukan kepadanya. Sebagai lelaki saya faham situasi dia dan tidak menyalahkan dia.
Bagaimana reaksi Pekin semasa pertemuan tersebut?
Sebenarnya saya dan Pekin sudah berkawan baik sejak dua tiga tahun yang lalu, saya mengenali dia seorang yang bagaimana. Dia juga meminta maaf kerana salah faham ini.
Bagaimana pula dengan Uqasha selepas kontroversi ini?
Saya harap hubungan mereka kembali seperti dahulu dan saya tidak mahu masuk campur tentang keputusan pertunangan mereka. Saya harap Uqasha tenang menghadapinya dan orang ramai tidak menyalahkan dia dalam perkara ini.
Selepas kontroversi ini, adakah Sharnaaz takut atau lebih berhati-hati untuk berkawan dengan artis wanita?
Saya seorang yang mudah rapat dengan sesiapa tidak kira artis atau bukan, perempuan atau lelaki, bagi saya tidak perlu takut jika ianya tidak bersalah.
Bagaimana Sharnaaz berhadapan dengan kontroversi demi kontroversi yang melanda diri anda?
Saya hanya ingin mencari rezeki dalam industri dan saya tidak tahu mengapa banyak sangat kontroversi datang bertimpa-timpa, kes saya bertumbuk di tepi lebuh raya pun belum selesai lagi ini sudah ada kontroversi baru.
Setiap kali ada isu yang melibatkan saya, saya hanya bertenang dan berhadapan dengannya, asalkan ia tidak melibatkan keluarga saya tidak kisah.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Ibu Sahkan Pertunangan Uqasha, Pekin Belum Putus


Uqasha dan Pekin ketika majils merisik dan bertunang mereka pada 6 Julai lalu. 
PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Uqasha Senrose, 21, iaitu Rosmizai Mohd Nor memberitahu hubungan anaknya dengan pelakon Pekin Ibrahim, 32, masih belum berakhir dan menolak pasangan berkenaan sudah putus tunang.
Rosmizai, 45, berkata, dia masih lagi menunggu penjelasan daripada kedua-dua belah berhubung gosip berkenaan.
"Biasalah dalam tempoh pertunangan ini ada sahaja dugaannya, namun secara rasminya mereka belum putus.
"Uqasha ada beritahu saya tentang masalah dalam hubungannya dan sekarang saya tunggu mereka berdua untuk menjelaskan keadaan sebenar, apa yang berlaku," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Rosmizai berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin mengenai pertunangan pasangan berkenaan yang dikatakan sudah berakhir berpunca daripada orang ketiga.
Akhbar melaporkan aktor Sharnaaz Ahmad dikatakan menjadi punca kepada masalah berkenaan tetapi pelakon itu menafikan tuduhan tersebut sebaliknya mahu bertemu dengan Pekin untuk mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang ulasan.
Tambah Rosmizai, sebagai ibu dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya dalam menentukan pilihan hidup masing-masing.
"Saya pun tidak boleh komen banyak sebab tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tapi apa-apa pun yang terjadi saya hanya doakan mereka dapat buat keputusan yang terbaik," katanya.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.
Uqasha dan Pekin gagal dihubungi untuk menjelaskan hal berkenaan.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment