Friday, 11 October 2013

Kontroversi Perkahwinan Aeril-Wawa Terjawab Sudah

Aeril-Wawa 
Akhirnya kontroversi yang melanda pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terjawab sudah.
Kisah berhubung kontroversi mereka menjadi perbualan apabila akhbar sisipan mingguan Bipop berjaya membongkar perkahwinan Aeril dan Wawa menerusi penyiasatan penuh ala-ala Crime Scene Investigation (CSI).
Hari ini mereka tampil memberikan kenyataan mengakui sudah bernikah sebanyak dua kali.
Pertama kali, mereka bernikah pada 25 Februari tahun lalu tanpa menghebohkannya kepada pihak media.
Kemudiannya, buat kali kedua, mereka bernikah semula pada 4 Februari tahun ini tanpa diketahui apa sebab musababnya.
Pada ketika itu mereka hanya bernikah tanpa sebarang dokumen dan hanya bernikah mengikut hukum syarak iaitu berwalikan bapa Wawa dan dinikahkan oleh seorang imam yang di datangkan khas dari Sabah.
“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah. Kami bernikah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab,” katanya memetik laporan mStar Online.
Sementara itu, menerusi portal Ohbulan, Aeril menjelaskan, “Kami bernikah hanya untuk menghalalkan perhubungan dan pada masa itu Wawa meminta izin daripada saya untuk tidak mendedahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan”.
“Namun begitu, setelah Wawa memberitahu saya yang dia mengandung pada bulan Januari 2013, kami mengambil keputusan untuk bernikah lagi sekali dengan dia pada Februari 2013 di Masjid Datuk Harun dan pada waktu itu kami mengikut undang-undang negara. Kami juga mengikuti kursus kahwin dan daftarkan perkahwinan tersebut mengikut jalan yang betul. Kami nikah kali kedua sebab saya nak anak saya lahir nanti dia ber-bin kan dengan nama saya dan bukannya ber-bin kan Abdullah.
“Mungkin orang beranggapan kami terlanjur tapi dari sisi agama sebenarnya anak itu memang sah di sisi agama dan Allah,” ulasnya lagi.
Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar yang telah dilahirkan pada 24 Ogos lalu.
Sebelum ini, Aeril bermati-matian menafikan dirinya berkahwin dengan Wawa dan kehilangan Wawa juga diragui oleh pihak syarikat pengurusannya, MIG yang ditunjanginya oleh Mejar David Teo.
Wawa dikatakan menghilangkan diri daripada dunia hiburan pada April lalu dan Aeril menyatakan ‘teman tapi mesranya’ itu sedang berubat penyakit misteri di kampung halaman aktres itu yang terletak di Lahad Datu, Sabah.
Mereka berdua dikatakan mula rapat selepas membintangi drama bersiri Klik dan sekali lagi digandingkan bersama menerusi filem 99 Kali Rindu terbitan MIG.
Nama anak mereka iaitu Ahmad Fakharuddin Attar juga tidak asing dalam diri Aeril apabila nama itu merupakan nama wataknya menerusi filem bergenre Islamik itu.
Sebelum ini, artis-artis di bawah syarikat pengurusan MIG dikatakan tidak boleh bercinta kerana terikat dengan kontrak serta syarat yang sudah termaktub dalam polisi syarikat tersebut.
Sumber : mynewshub.my
Reply To This Comment

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Mengaku Nikah Dua Kali

Aeril dan Wawa menjawab soalan media. 
PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafrel akhirnya mengaku hubungannya dengan aktres Wawa Zainal selama ini bukanlah teman biasa tetapi mereka sebenarnya adalah suami-isteri.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, 25, berkata, dia dan Wawa, 22, telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media.
“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah. Kami bernikah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Jadi, status anak saya yang dihebohkan selama ini sudah terjawab,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis yang diadakan di sebuah restoran di Neo Damansara, di sini petang Jumaat.
Tambah Aeril, mereka bernikah sebanyak dua kali iaitu pada kali kedua , 4 Februari lalu, hampir setahun selepas pernikahan pertama.
Suasana 'tegang' pada majlis sidang media pengakuan kahwin rahsia Aeril dan Wawa Zainal apabila mereka diasak pelbagai soalan oleh wartawan. 
Katanya, pernikahan kali pertama dibuat tanpa didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali kedua sebagai menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan secara rasmi.
Terdahulu, akhbar pada Ahad lalu melaporkan Aeril sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, secara senyap.
Hasil perkahwinan itu mereka dikatakan telah mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
Terdahulu, desas-desus tentang hubungan rapat mereka telah terdengar namun dinafikan Aeril dengan memberitahu hubungan baik tersebut hanya sebagai rakan artis semata-mata manakala Wawa dikatakan pulang ke kampung halamannya di Sabah akibat sakit misteri.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Thursday, 10 October 2013

Bumbung tokong terbentuk nama ALLAH?

  • Bumbung tokong terbentuk nama ALLAH?
PASIR PANJANG - Gara-gara penyebaran gambar di dalam laman Facebook, sebuah tokong di pekan Pasir Panjang, dekat sini dikerumuni lebih 200 penduduk sekitar, malam kelmarin.

Semuanya kerana sebuah laman Facebook memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang dikatakan terbentuk kalimah ALLAH, menyebabkan penduduk datang ke luar kawasan tokong berkenaan bagi menyaksikan sendiri dakwaan tersebut.

Seawal jam 8 malam lagi, mereka berpusu-pusu datang ke tokong berkenaan untuk melihat, sekali gus merakamkan gambar bumbung tersebut.

Tidak kurang juga, ada individu yang melalui jalan Pasir Panjang-Port Dickson ini turut memberhentikan kenderaan mereka untuk mengetahui cerita sebenar.

Berikutan itu juga, sepasukan polis terpaksa ditugaskan mengawal keadaan berikutan jumlah orang ramai bersilih ganti serta berkumpul di kawasan berkenaan.

Menurut Sin San Huo, 63, yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersebelahan rumah ibadah itu berkata, dia hairan melihat orang ramai datang dan berkumpul di depan bangunan itu.

"Saya telah lama menetap dan berniaga di sini, namun tidak pernah perasan tentang perkara itu. Malah, sebelum ini tiada siapa yang bercerita tentangnya. Entah bagaimana hari ini (kelmarin) tiba-tiba boleh wujud cerita semacam itu.

“Tokong ini berusia lebih 100 tahun dan jika tidak silap, bumbung didakwa membentuk tulisan jawi itu baru sahaja diubah suai kurang 10 tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Khairul Ali, 36, berkata, orang ramai datang untuk melihat sendiri selepas perkara itu tersebar di laman sosial.

“Pada pandangan saya, perkara ini berlaku bukan disengajakan mana-mana pihak dengan niat tertentu tetapi ia adalah satu kebetulan dan pastinya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“Namun adalah wajar sekiranya pihak berkuasa terutamanya jabatan agama segera membuat penjelasan mengenai dakwaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti agama.

“Apabila terlalu ramai orang berkumpul dan tiada pihak memantau, kita khuatir akan berlaku pergaduhan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai hanya dapat melihat bentuk kalimah ALLAH itu pada waktu malam apabila mereka berada di kedudukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 meter daripada rumah ibadah tersebut.

Pada waktu siang, apa yang kelihatan pada bumbung itu hanyalah lekuk-lekuk seni bina bumbung rumah ibadah itu tanpa lakaran kalimah ALLAH. Malah, jika lampu jalan berhampiran tokong itu dipadamkan, lakaran kalimah itu juga tidak kelihatan.

Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Minuman kafein ganggu fungsi otak?

 

Minuman yang diambil setiap hari mempengaruhi tahap kesihatan individu. Amalan minuman kafein, bergas dan berkorbonat boleh menjejaskan kesihatan jika diambil dalam jangka masa panjang.

Malah, pengambilan minuman itu juga menjejaskan kesihatan bayi di dalam kandungan sehingga dewasa. 
Kajian dijalankan sekumpulan ahli saintis Switzerland, baru-baru ini, menunjukkan kafein yang terkandung dalam minuman segera atau bergas serta minuman tenaga turut menyumbang kepada kelembapan minda. 

Hasil kajian mendapati remaja yang mengambil tiga tin minuman tenaga atau sebotol besar minuman kola setiap hari boleh mengurangkan jumlah tidur nyenyak mereka. 

Remaja yang berterusan minum kafein secara berterusan dalam jangka masa panjang boleh terjejas kecerdasan minda.

Otak gagal berfungsi

Ini kerana kafein yang terkandung dalam minuman bergas boleh memberhentikan otak kanak-kanak daripada berfungsi dengan betul dan mengganggu perkembangan otak ketika remaja. 
Eksperimen ke atas seekor tikus mendapati proses matang otak tikus mengalami rencatan seketika apabila diberi minum kafein bergas . Sementara tikus yang diberi minum air kosong lebih tidur nyenyak.

Situasi itu, memberi kesan kritikal kepada otak apabila ada gangguan berlaku dalam pembangunan otak yang turut membawa kepada masalah skizofrenia, kebimbangan, penggunaan dadah dan gangguan personaliti. 

Tidur tidak nyenyak

Hanya dengan minum 300 hingga 400 miligram (mg) kafein yang terkandung dalam minuman bertenaga atau empat cawan kopi, ia bertindak memberi kesan kepada funsgi otak.

Profesor Reto Huber dari Hospital Kanak-kanak Universiti Zurich, berkata rangsangan otak paling optimum berlaku ketika tidur yang nyenyak, namun jika mengambil minuman kafein, ia boleh menjejaskan kualiti tidur yang lena, sekali gus membantutkan perkembangan dan sambungan antara sel otak.

Lebih membimbangkan, ketika usia remaja, otak akan melalui fasa matang halusinasi dalam peringkat akil baligh mereka. Jika terganggu, akan berisiko penyakit mental.
Reply To This Comment

Baik, buruk durian

Semua orang kenal durian, iaitu raja buah. Selain rupanya yang berduri dan keenakan rasa dan aroma boleh menambat selera. Kini, kita tidak perlu lagi menunggu musim durian, ia boleh didapati dengan mudah khususnya di pusat beli-belah. 

Apatah lagi jika musim durian datang, di mana-mana saja termasuk di tepi jalan di taman perumahan. Cuma lebih enak durian ini di makan terus di tepi kebunnya. Meskipun harganya mencecah puluhan ringgit sekilogram untuk dengan pelbagai spesis seperti musang king, D24 dan durian tembaga. 
Memang ramai juga yang tidak suka bau dan rasanya, tapi bagi peminat durian, buah itu memang tidak harus ditolak. 

Ada pendapat mengatakan durian tidak boleh dimakan oleh penghidap kencing manis dan darah tinggi kerana ia dianggap buah ‘panas’. 

Bagaimanapun, pendapat ini hanya satu pandangan tidak berasas apabila pakar pemakanan mengatakan raja buah ini penuh dengan zat lengkap dan sumber nutrisi badan. Malah, durian adalah salah satu jenis buah yang padat dengan khasiat dan mengandungi nutrisi bagus. Ini kerana buah tropika ini kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti vitamin C, B Kompleks, Potassium, kalsium dan juga zat besi. 

Lanta, tiada halangan kepada pesakit diabetes, darah tinggi atau pesakit lain untuk menjamah ini asalkan pengambilannya berpada-pada bagi mengelak mudarat kepada kesihatan. 




Kaya Vitamin 
Pakar Pemakanan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Ong Min Ying, berkata durian kaya dengan vitamin dan mineral. 

Katanya, durian memberikan kalori atau tenaga yang lebih tinggi berbanding dengan buah lain dan dua ulas durian (saiz sederhana) memberikan 60 kalori. 
Bagaimanapun, jika durian diambil secara berlebihan, ia mungkin menyebabkan berat badan meningkat. 

“Berat badan yang berlebihan meningkatkan risiko mendapat penyakit kencing manis dan sakit jantung,” katanya. 

Beliau berkata, seperti buah-buahan lain, durian juga mengandungi vitamin C, iaitu lima ulas durian dengan berat sebanyak 189 gram mengandungi 9.7 miligram vitamin C iaitu bersamaan dengan kandungan vitamin C untuk dua epal merah saiz sederhana. 

“Durian antara buah yang padat dengan khasiat dan adalah sumber nutrisi yang bagus, Buah tropika ini kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti vitamin C, Vitamin B kompleks, Potassium, kalsium dan zat besi. Durian juga mengandungi serat yang tinggi” katanya. 

Hadkan pengambilan 

Katanya merungkai delima pesakit diabetes yang takut untuk menjamah buah lazat ini, beliau berkata, durian tidak mengandungi kolestorel. 

“Kolestrol hanya datang daripada sumber haiwan. Jika seseorang mengambil buah durian, tahap kolestrol tidak tinggi tetapi, perlu ingat durian mengandungi kandungan lemak yang tinggi berbanding dengan buah lain. Jika seseorang makan durian berlebihan, maka jumlah pengambilan lemaknya akan meningkat,” katanya. 

Pendapat menyatakan durian menyebabkan panas badan sebenarnya bergantung kepada kuantiti pengambilannya, jika sedikit ia tidak mendatangkan sebarang masalah. 

“Metabolisme badan kita akan meningkat semasa proses pencernaan makanan dan ini akan menaikkan suhu badan. Durian adalah sumber makanan yang padat dengan kalori, jika dimakan terutama secara berlebihan, ini akan menyebabkan suhu badan meningkat, maka seseorang itu akan terasa kepanasan,” katanya. 

Minum banyak air bagi membantu mengurangkan panas dan mengawal suhu badan mengikut julat normal. 

“Apabila suhu badan meningkat, badan akan merangsangkan sistem untuk menyejukkan badan supaya suhu badan diturunkan ke julat normal. Berpeluh dan buang air kencing adalah antara cara badan disejukkan,” katanya. 

Oleh itu, dapat disimpulkan pengambilan durian dengan kadar sederhana akan membawa banyak kebaikan kerana pelbagai vitamin. 

Kebaikan durian 

Durian boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit, sistem imunisasi dan fungsi saraf, selain pelawas menghindari sembelit. 

Kalori tujuh ulas durian bersamaan dengan satu mangkuk nasi. 

“Semua orang bebas makan durian. Bagi pesakit diabetes durian adalah sumber karbohidrat. Cuma perlu hadkan pengambilannya untuk mengelak tahap gula darah tidak naik secara mendadak. Cukup sekadar dua ulas durian (sederhana). 

“Dua ulas ini membekalkan 15 gram karbohidrat bersamaan dengan satu biji epal atau satu biji pisang,” katanya. 

Oleh itu, dicadangkan, pengambilan buah ini sama seperti buah lain berdasarkan Panduan Piramid Makanan Malaysia. Buah-buahan digalakkan diambil sebanyak dua hidangan atau lebih dalam sehari. 

Satu hidangan buah bersamaan dengan dua hingga tiga ulas durian, maka seseorang itu boleh mengambil sebanyak lebih kurang empat hingga enam ulas sehari.
Reply To This Comment