Thursday 1 August 2013

Fida teruskan pendirian sertai AF

  • Fida teruskan pendirian sertai AF

JIKA sebelum ini, Rafidah Ibrahim, 27, atau lebih dikenali sebagai Fida, berdepan dengan isu dikatakan 'merampas' Zalif Sidek daripada teman wanita aktor itu, kini aktres cantik ini terpalit pula dengan kontroversi baru apabila menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia (AF).

Penyertaan Fida dalam AF musim baru itu bukan saja mengundang tidak puas hati di kalangan peminat, bahkan turut mendapat bantahan dari seorang juri AF, Syafizawati Sharif atau Cikgu Syafi.

Menurut Cikgu Syafi, penyanyi yang popular dengan lagu Apa Kono Eh Jang itu sudah pun mempunyai nama dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, Fida tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan penyertaannya dalam program realiti popular itu.

"Apa saja komen diberikan Cikgu Syafi, saya anggap sebagai semangat untuk meneruskan perjuangan dan tidak akan sesekali berundur setelah memutuskan menyertai program itu.

"Saya sedar vokal saya tidak sehebat penyanyi lain. Itulah antara faktor saya memilih AF kerana ia sebagai medium untuk mempelajari teknik-teknik nyanyian," kata Fida apabila namanya berjaya di senarai pendek untuk menyertai program tersebut.

Tak kejar glamor

Tegas Fida, bukan niatnya untuk mengejar sebarang populariti jika diterima menyertai AF, sebaliknya dia ingin mengutip ilmu dalam kelas nyanyian bagi memperkuatkan lagi vokalnya.

"Inilah peluang untuk saya meneruskan karier nyanyian yang lebih baik untuk masa akan datang.

"Walaupun dah bergelar penyanyi, namun saya sebenarnya masih belum mahir dan kurang pengalaman.

"Maka dengan penyertaan ini, ia dapat menambah ilmu untuk saya menerokai bidang muzik," kata Fida yang minat menyanyi sejak kecil lagi.

Menurutnya, kerjaya dalam dunia seni ada pasang surutnya dan jika dia tidak mempelajari perkara baru, berkemungkinan namanya akan tenggelam suatu hari nanti.

"Saya tak kisah apa jua komen-komen negatif yang saya terima sejak berkecimpung sebagai penyanyi. Saya anggap itu sebagai peniup semangat untuk lebih berjaya," katanya yang baru sahaja selesai merakamkan single terbaru bersama Datuk AC Mizal dan Qalam Band bagi projek terbaru mereka.

Beralih mengenai kisah peribadinya, Fida menegaskan dia tidak pernah serik untuk bercinta lagi meskipun hubungan dengan Mamat Sepah dan Zalif Sidek pernah menemui kegagalan.

"Buat masa ini, soal cinta saya tolak tepi dulu demi menumpukan perhatian kepada kerjaya.

"Fokus utama saya adalah nyanyian selain daripada penggambaran drama dan filem," katanya yang turut menjayakan telemovie raya, Besan-besanku Gangster.

Masakan ibu menu wajib

Berkongsi mengenai persiapan raya, Fida berkata, dia akan menyambut 1 Syawal bersama keluarga tercinta, namun belum memutuskan di mana mereka akan beraya kali ini.

"Kebiasaannya kami akan beraya di Kampung Baru, Kuala Lumpur namun saya tinggal berdekatan dengan Kemensah.

"Jaraknya tidak jauh, kami masih belum buat keputusan tempat untuk berkumpul bersama keluarga," katanya.

Ditanya mengenai menu wajib ketika raya, Fida berkata, rendang daging hasil air tangan ibunya merupakan menu utama setiap kali menjelang Aidilfitri. Bagaimanapun, sejak ibunya jatuh sakit, dia tidak lagi dapat menikmati juadah kegemarannya itu.

"Setiap kali raya pasti ibu akan masak rendang daging, tidak pernah miss tetapi apabila masakan itu tiada, raya dirasakan tidak lengkap.

"Pernah sekali kakak membawa rendang untuk kami adik beradik, namun ia tidak sama.

"Alhamdulillah... tahun ini, mak sudah sihat dan kami dapat menikmati masakannya lagi," ujarnya.

Fida berkata, tahun ini dia turut memperuntukkan duit raya sehingga RM3,000 untuk anak buah dan saudara maranya yang berkunjung ke rumahnya nanti.

"Tahun lalu saya bajet dalam RM5,000. Tahun ini mungkin kurang sedikit kerana duit raya tahun lalu masih lagi berbaki," jelasnya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment