Tuesday, 23 July 2013

Sham (Kamikaze) Minta Ashraf Muslim Tidak Dikritik

Sham Kamikaze 
KUALA LUMPUR: Komposer dan penceramah bebas Sham (Kamikaze) meminta mana-mana pihak tidak lagi mengkritik langkah pelakon Ashraf Muslim yang memiliki isteri kedua iaitu bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi.
Mereka berkahwin di Bangkok, Thailand pada 7 Julai lalu.
Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 37, berkata, sebagai individu yang hanya melihat dan sekadar membaca mengenai perkembangan Ashraf di media, orang ramai tidak ada hak untuk menilai perilaku pelakon itu baik mahupun buruk.
"Dalam kes Ashraf ini, siapakah kita untuk menilai seseorang tak kiralah sama ada ia adalah satu perkara baik atau buruk.
"Takut nanti jika penilaian itu menjadi hal lain pula, seolah-olah kita menidakkan takdir Allah. Kita kena ingat setiap perkara yang berlaku, Allah sudah rancangkan.
"Jadi lebih baik kita diam sahaja dan doakan yang terbaik buat Ashraf sekeluarga," katanya.
Sham diminta mengulas mengenai Ashraf yang juga merupakan pengamal perubatan Islam mencetuskan kontroversi apabila dia mengaku telah berkahwin kali kedua dan perkahwinan itu dibuat tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26.
Ashraf Muslim 
Hal sama juga berlaku kepada Sham pada tahun lalu apabila dia menjadi tumpuan ramai gara-gara dikatakan sudah beristeri untuk kali kedua dengan wanita bernama Nurul Halimin tanpa pengetahuan bekas isteri pertamanya (ketika kejadian mereka belum bercerai), Farazila Abdul Jabar, 32.
Bagaimanapun Sham menafikan gosip tersebut namun tidak lama selepas itu wajah isteri baharu Sham didedahkan sebuah laman blog iaitu seorang janda anak satu dan mereka telah berkahwin pada 16 Januari 2012.
Ditanya pula mengenai kehidupannya dengan isteri baharunya, yang juga kakak kepada penyanyi Maulana, Sham berkata, dia bahagia dengan kehidupannya itu.
"Tiada apa yang menarik, tetapi saya sekeluarga bahagia, Alhamdulillah," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan lain pula, Sham berkata dia kini merupakan pendakwah sepenuh masa selain menjadi panel jemputan dalam mana-mana acara keagamaan.
“Inilah saya sekarang. Tidak lagi bermain muzik, tetapi saya lega dengan kehidupan sekarang. Memang saya sudah meninggalkan dunia komersial sepenuhnya.
"Kerja studio pun saya tinggalkan. Kalau ada pun yang meminta lagu, ia lebih kepada lagu nasyid kontemporari,” tuturnya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Perasaan Zalif terhadap Fida tetap sama

 

Tenang saja dia menjawab panggilan ketika dihubungi semalam, seakan menyedari soalan bakal diajukan. Apa lagi jika bukan mengenai hubungannya yang terputus dengan penyanyi dan pelakon, Rafida Ibrahim atau Fida, gara-gara kemunculan pihak ketiga, seperti yang disiarkan di muka depan HIP, semalam. 

Kata Zalif Sidek, biarpun antara dirinya dengan Fida bukan lagi pasangan bercinta, hubungan mereka masih baik. Bahkan dia mengaku masih rapat dengan wanita yang popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang itu. 


Mengakui berusaha memperbaiki kesilapan masa lalu demi masa depan masing-masing, Zalif juga tanpa segan silu mendedahkan perasaannya terhadap Fida masih seperti dulu. Sebab itu juga mereka masih akrab sehingga kini, malah dia turut meluangkan waktu berbuka bersama Fida di Taman Melawati, baru-baru ini. 

“Masalah orang ketiga ini sudah lama berbangkit dan saya pun sudah baik dengan Fida. Saya sudah berjumpa dan berbincang dengannya mengenai hal ini. Kami sudah melupakan apa yang terjadi, apatah lagi ia berlaku dalam pertengahan tahun lalu. 

“Saya dan Fida tidak tahu siapa orang ketiga itu. Mungkin peminat saya ataupun peminat Fida yang tidak mahu melihat kami bersama. Saya pun tak mahu besarkan perkara ini kerana industri kita kecil saja. Saya tak mahu bergaduh dengan mana-mana pihak. 

“Saya cuba menelefon nombor terbabit, tetapi tidak berjawab. Sekarang saya sudah pun padam nombor itu. 

“Sebelum ini, wartawan sebuah portal ada menyatakan, ada seorang datin meninggalkan komen di artikel tulisannya, seolah-olah tidak menyukai hubungan kami. Mungkin disebabkan sebelum ini ada kontroversi melanda Fida, orang tak suka saya berhubungan dengannya. Mungkin juga ia disebabkan saya orang baru dalam dunia seni ini dan orang luar pula menggemari pasangan sama cantik,” katanya. 
Anggap kontroversi pengajaran berguna 

Bagaimanapun, Zalif melihat apa yang berlaku dari sudut positif. 

“Saya anggap kontroversi ini sebagai cabaran dan pengajaran buat saya. Kita kena berhati-hati sebab kalau orang tak suka kita, dia boleh buat apa saja. 

“Tapi tak mengapa, saya dan Fida masih rapat seperti sebelum ini dan saya pun sedang perbetulkan apa yang pernah saya buat salah. Jika sudah jodoh saya bersama Fida, orang luar tidak boleh kata apa. Malah, andainya saya mengambil keputusan berkahwin dengan dia pun, orang ramai kena terima,” katanya yang akan muncul bersama telefilem, Besan-Besanku Gangster, pada Aidilfitri ini, selain drama bersiri Alam Maya selepas Syawal. 

Zalif turut bersyukur kerana majikannya di Metrowealth Pictures, David Teo, memahami situasi dialami dan memberi sokongan untuknya menyelesaikan masalah berkenaan. Zalif juga ada mendapatkan nasihat daripada pelakon senior dan mereka turut memberikan komen positif. 

Meskipun tidak lagi bercinta, Zalif yang akan menemui peminat dengan filem Bencinta pada 26 September, berterima kasih kerana Fida dan keluarganya turut memahami apa yang dilalui. 


 


Sumber : Berita Harian
Reply To This Comment

Ainan Tasneem kemalangan


Ainan Tasneem

Ainan Tasneem
Ainan Tasneem Kemalangan
Keadaan kereta yang dinaiki oleh Ainan Tasneem.
PENYANYI yang terkenal menerusi lagu Aku Suka Dia, Ainan Tasneem mengalami kemalangan kereta sewaktu melalui Lebuhraya NPE (New Pantai Express Highway) sekitar jam 2.30 petang semalam.

Dipetik menerusi laman Facebooknya, Ainan Tasneem berkata, sewaktu kemalangan berlaku, beliau dan teman baiknya dalam perjalanan menuju ke Bandar Tasik Selatan dan secara tiba-tiba kereta yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

“Kejadian semalam di lebuh raya NPE. 21 Julai kira-kira 2.30 pm. We were on our way to Bandar Tasik Selatan (kami tengah menuju ke Bandar Tasik Selatan). Bertembung dengan kereta belakang yang nak ke kanan waktu kami nak masuk ke simpang kiri. Kereta dua-dua dalam keadaan yang sangat laju.

“Dalam kereta berasap dan airbag semua keluar,  tayar kereta juga terkeluar dari tempat tayar , jadi besi tu tersekat dekat longkang. Kalau tak, kereta memang terus akan menjunam ke tepi gaung sebelah itu sahaja.

“Tapi, Alhamdulillah. Nothing happen to me and my best friend (tiada apa yang berlaku dalam diri saya dan kawan baik saya). Cuma sekarang setiap urat dekat badan terlalu sakit dan banyak lebam akibat hentakan yang terlalu kuat,” katanya.

Mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut, Ainan bagaimanapun bersyukur apabila tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk.

“Alhamdulillah Allah masih bagi nyawa untuk kami bernafas. Dan kepada orang di luar sana, berhati-hati semasa memandu (To people out there, please.. Drive safely). Sayangi nyawa anda. Saya trauma kejap.

“Sampai sekarang masih teringat ingat apa yg berlaku semalam. Terima kasih Allah kerana masih bagi peluang untuk hidup,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Monday, 22 July 2013

Pekerja kedai besi maut ditetak


G Durintheran

Mangsa ditemui orang ramai terbaring dan berlumuran darah di belakang lorong perumahan di Air Itam, petang kelmarin.
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui terbaring dan berlumuran darah oleh orang awam di tepi jalan belakang lorong perumahan di Lebuh Rambai 16, Air Itam, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.55 petang, berkenaan mangsa ditetak berikutan mengalami kecederaan dipercayai terkena senjata tajam di beberapa anggota badan antaranya kepala, tangan, bahu dan belakang badan.

“Mangsa yang dikenali sebagai G Durintheran, 24, berasal dari Bayan Baru dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulans.

"Mangsa kemudiannya meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam semalam (kelmarin) di hospital,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan, mangsa tiada sebarang rekod jenayah lampau namun polis masih menyiasat punca kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian, polis menjumpai dua kelongsong peluru jenis SME 9 mm. Peluru itu dibawa oleh Jabatan Forensik untuk siasatan. Penduduk di sekitar itu juga memaklumkan mereka terdengar bunyi seperti mercun sebelum ternampak seorang lelaki berlumuran darah terbaring di tempat kejadian.

“Mereka juga nampak beberapa motosikal dinaiki sekumpulan lelaki bawa parang panjang mengejar mangsa," katanya.

Kong Meng berkata, polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian itu.

“Hasil siasatan, suspek tiada rekod jenayah dan kita menahannya untuk diambil keterangan.

“Suspek berasal dari Desa Mawar, Air Itam. Kes ini disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa adiknya berikutan mangsa seorang yang baik dan tidak pandai bergaul.

“Adik saya bekerja dengan bapa di kedai pengumpulan besi buruk di Batu Feringghi dan selama ini, dia tidak pernah ada masalah dengan sesiapa.

“Dia masih bujang juga bukan seorang yang sosial kerana tidak merokok, minum arak mahupun mengambil dadah. Saya harap, polis dapat menahan mereka melakukan perkara ini kepada adik saya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Sunday, 21 July 2013

Putus tunang gara-gara Ashraf Muslim


Putus tunang gara-gara Ashraf Muslim

Bekas tunang(kiri) dan Wan Sakinah - Gambar hiasan
MASIH belum reda mulut orang berkata tentang majlis perkahwinan mengejut antara Ashraf Muslim dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai lalu, kini timbul isu baru yang jauh lebih mengejutkan.

Ini kerana, Ashraf bukan sahaja dikatakan kahwin kali kedua tanpa keizinan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, malah turut didakwa punca berlakunya putus tunang antara Sakinah dengan bekas tunangnya.

Melalui rancangan Melodi di TV3, bekas tunang Sakinah, 29, yang tidak mahu dinamakan telah muncul memberitahu tentang pertunangannya dengan wanita itu yang sebelum ini terputus gara-gara Ashraf, 32, menjalinkan hubungan dengannya.

Beliau turut mendakwa yang hubungan Ashraf dengan Sakinah terjalin sewaktu pelakon itu masih bergelar tunang kepada isteri pertamanya, Dayana.

“Rasanya hubungan antara Sakinah dengan Ashraf bermula bukan sembilan bulan selepas Ashraf berkahwin, malah sebelum dan semasa Ashraf dalam pertunangan dengan tunangnya (Dayana) dan saya dan Sakinah masih bertunang.

“Pada masa itu saya memang frust (kecewa), kerana saya sudah hampir berkahwin. Memang takdir telah menentukannya tapi macam mana takdir pun mesti ada sebab dan alasannya dan salah satu sebab pertunangan kami terputus kerana dia (Sakinah) ada hubungan dengan Ashraf

“Dan pertunangan saya dan Sakinah terputus 25 hari sebelum mereka melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Bagaimanapun, bekas tunang Sakinah itu tetap menarik nafas lega apabila apa yang diperkatakannya sebelum ini bukanlah fitnah sebaliknya kenyataan.

“Alhamdulillah, apa yang Ashraf nafikan sebelum ini akhirnya terbongkar. Apa yang pernah saya suarakan sebelum ini dipersoalkan oleh orang luar sama ada saya memfitnah, tapi sekarang sudah terbukti.

“Sebelum ini apa yang saya cakap tidak dipercayai orang lain kerana mereka menganggap Ashraf seperti ustaz, tapi Alhamdulillah, akhirnya terbongkar,” ujarnya yang turut bersimpati dengan apa yang terjadi kepada Dayana.

Tidak berdendam dengan Sakinah meskipun hubungan yang terjalin tidak ke jinjang pelamin, beliau tetap mendoakan kebahagiaan Ashraf dan Sakinah sehingga ke akhir hayat.

Namun, apa yang diharapkan oleh beliau agar Ashraf tidak lari dengan apa yang berlaku sebaliknya bersikap seperti lelaki budiman kerana apa yang dilakukan (berpoligami) tidak salah.

“Ashraf patut berterus terang dan sedia menghadapi pihak media dan orang ramai,” jelas beliau.

Sebelum ini, Ashraf dan Sakinah mengemparkan industri hiburan tanah air apabila dikatakan kahwin lari di Thailand pada 7 Julai lalu.

Bapa mertuanya, Lokman Abdul Hamid, 54, tampil memberikan kenyataan bahawa Dayana tidak pernah reda dengan pernikahan kedua Ashraf.

Ashraf dan Dayana bernikah di Makkah pada 30 Ogos 2011, namun sehingga kini mereka masih belum dikurniakan zuriat.
Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment