Thursday, 20 June 2013

'Putus Tunang Atau Tidak Selepas Kes Khalwat' - Ibu Shahrizal Jaszle

Shahrizal Jaszle dan Redzwani Putri. 
PETALING JAYA: Sama ada pertunangan di antara pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan Redzwani Putri, 25, akan diteruskan atau tidak bergantung kepada keputusan khalwat yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah pada November depan.
Ibu merangkap pengurus kepada pelakon lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Zaleha, 68, berkata, setakat ini pertunangan anaknya dengan Redzwani Putri masih belum putus.
Zaleha juga menepis laporan sebuah akhbar pada Khamis kononnya hubungan kedua-dua pasangan itu sudah berakhir adalah tidak benar.
"Shah dan Redzwani masih lagi dalam ikatan pertunangan dan kedua-dua belah pihak seboleh-bolehnya mahu hubungan ini kekal.
"Keluarga kedua-dua pihak memang ada berbincang mengenai kemelut yang terjadi tetapi pihak perempuan belum memulangkan cincin pertunangan sebagaimana yang dilaporkan.
“Kedua-dua belah pihak juga sudah bersepakat untuk menentukan keputusan pertunangan mereka sama ada hendak diputuskan atau tidak selepas kes selesai," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Zaleha diminta mengulas laporan akhbar pada Khamis kononnya hubungan Shahrizal Jaszle atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin dengan Redzwani Puteri sudah diputuskan pada 10 Jun lalu.
Ia berikutan kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Farah Nurizzati Salleh, 21, oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi, 16 Mei lalu.
Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, Farah Nurizzati mendakwa penangkapan khalwat itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.
Dalam pada itu Zaleha berkata, terpulanglah kepada masyarakat untuk mempercayai kenyataannya atau tidak tetapi apa yang penting pertunangan anaknya dengan Redzwani masih kekal seperti dahulu.
"Saya tidak mahu fikir apa yang orang lain fikir, tetapi saya bangga dengan sikap Redzwani yang sentiasa berada di sisi anak saya ketika kontroversi ini berlaku selain dia turut memberi sokongan moral kepada Shahrizal," katanya.
Sementara itu Zaleha berkata dalam satu pertemuan yang melibatkan Shahrizal, Redzwani dan Farah Nurizzati pada Rabu, ketiga-tiga pihak telah mencapai persetujuan dan kata sepakat.
Ujarnya, dalam perjumpaan itu Shahrizal memutuskan untuk tidak mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan Farah Nurizzati.
"Saya harap selepas ini tidak ada lagi pihak ketiga tampil untuk buat kenyataan yang merumitkan keadaan kerana ia secara tidak langsung mengaibkan diri sendiri dan keluarga masing-masing," jelasnya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Wednesday, 12 June 2013

Ainan Tasneem Kesal Dituduh Curi Lagu

Ainan Tasneem 
PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem mengakui agak keberatan untuk menyanyikan lagu dari ‘single’ keduanya 150 Juta selepas dia dituduh mencuri karya tersebut.
Ainan, 21, berkata dia kecewa dengan tuduhan itu dan menganggap gosip tersebut hanyalah sekadar salah faham.
"Ramai peminat salah faham dan anggap saya curi lagu itu daripada Fyn Jamal walhal kita ada perjanjian yang dibuat sebelum rakam lagu itu.
"Namun, saya bukan tidak mahu menyanyikan langsung lagu tersebut cuma jika penganjur tidak kisah tentang lagu, saya akan utamakan lagu-lagu ciptaan saya dahulu," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.
Ainan berkata demikian ketika mengulas dakwaan apabila dia dikatakan tidak profesional kerana enggan menyanyikan lagu 150 Juta di setiap persembahannya.
Tambah Ainan, pada awalnya lagu 150 Juta dirakam sebagai lagu pelengkap untuk dimuatkan dalam albumnya, namun atas kesilapan teknikal lagu tersebut dijadikan single keduanya selepas Aku Suka Dia.
"Saya kecewa sangat kerana ada kesilapan ketika menghantar lagu untuk single kedua di radio, namun tidak boleh ditarik balik kerana banyak permintaan.
"Sepatutnya lagu-lagu ciptaan saya sendiri yang dimainkan dahulu dan lagu itu pada asalnya hanya untuk dimuatkan dalam album sahaja," katanya.
Bagaimanapun, jelas Ainan, dia bersyukur ramai yang meminati lagu tersebut.
Sementara itu, Ainan berkata dia bakal melancarkan mini album pada Julai depan dan sudah selesai rakaman 10 buah lagu baru untuk album penuh yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Beto Kusyairy Kongsi Rahsia Jadi Maskot Rancangan 'Along'

Beto Kusyairi 
KUALA LUMPUR: Pelakon Beto Kusyairi mendedahkan dia pernah menjadi maskot rancangan kanak-kanak popular, Along pada tahun 2001 ketika di awal pembabitannya dalam dunia seni hiburan tempatan.
Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan,33, ini berkata, ia merupakan sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakannya meskipun melalui kesukaran melakukan kerja maskot itu.
"Saya ambil motivasi daripada pelakon Hollywood iaitu Brad Pitt di mana dia juga pernah menjadi maskot untuk sebuah restoran makanan segera.
"Dan hampir tiga tahun melakukan kerja itu, saya menimba pelbagai pengalaman dan ia antara cabaran yang memberi kenangan manis buat saya sebelum bergelar pelakon yang dikenali.
"Saya percaya, kerana pengalaman menjadi maskot itu juga membuatkan saya menjadi seperti hari ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem CEO di restoran Bora Ombak, di sini, Selasa.
Along merupakan rancangan kanak-kanak yang melibatkan tiga karakter iaitu Along sebagai peneraju utamanya, Achik dan Angah yang popular pada sekitar 1990-an sehingga tahun 2003.
Antara maskot Along yang popular di TV1 tidak lama dulu. 
Rancangan itu disiarkan menerusi TV1.
 
Tambah Beto yang mengimbas kembali kenangannya itu, setiap kali menyarung maskot tersebut, dia terpaksa bermandi peluh kerana terlalu panas, selain terpaksa memakainya selama beberapa jam mengikut proses penggambaran yang dilakukan.
Bagaimanapun dia tetap seronok menjalankan tugasnya itu kerana dapat melakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa orang tahu siapakah yang berada di dalam maskot berkenaan.
"Terlalu banyak pengalaman lucu sepanjang bekerja menjadi 'Along’. Kalau nak cakap fasal panas, ia memang tak terkira.
"Bagaimanapun rasa panas terus hilang apabila saya menyarung baju maskot itu. Ia seperti mempunyai magis yang membuatkan saya berubah karakter. Mungkin kerana orang tidak siapa di dalamnya membuatkan saya berperangai seperti kanak-kanak riang.
"Pernah sekali, ketika di sebuah majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya perlu membuat beberapa aksi. Tetapi kerana berpeluh, kepala maskot saya tercabut sehingga membuatkan beliau ketawa," selorohnya.
Dalam perkembangan lain, Beto telah selesai penggambaran filem Balun serta Gila Baby dan bakal muncul dalam filem Bravo 5 yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
Beto juga akan memulakan penggambaran CEO di bawah terbitan ARAfilm bersama-sama dengan barisan pelakon seperti Christina Suzanne, Remy Ishak dan Deanna Yusoff pada 15 Jun ini.
Sumber : mStar Online

Reply To This Comment

Tuesday, 11 June 2013

Diana Danielle Bersalin Sebelum Tempoh Tidak Benar

Diana Danielle - Foto daripada Instagram Diana Danielle 
PETALING JAYA: Desas-desus yang tersebar kononnya pelakon Diana Danielle telah bersalin lebih awal iaitu tujuh bulan selepas kahwin adalah tidak benar sama-sekali.
Jurucakap pihak pengurusan Metrowealth memberitahu, tuduhan itu sememangnya tidak berasas kerana isteri kepada pengarah filem Farid Kamil itu akan bersalin selewat-lewatnya pada awal Ogos depan.
"Diana belum bersalin lagi, saya diberitahu dia akan bersalin pada akhir Julai atau awal Ogos depan.
"Setakat ini Farid akan habiskan dulu penggambaran drama untuk Astro dan mungkin selepas itu baru dia ke Australia untuk persiapan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Foto daripada Instagram milik Farid Kamil yang menjadi kontroversi. 
Terdahulu, sebuah akhbar pada Ahad lalu menerusi ruangan pojoknya melaporkan aktres tersebut sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital berdekatan kediaman Diana di Sydney, Australia pada hujung Mei lalu.
Dalam pada itu, Farid yang sedang bercuti daripada sebarang penggambaran akibat kemalangan motosikal minggu lalu dijadualkan akan mula bertugas pada minggu ini bagi menyelesaikan penggambaran drama Jodoh Itu Milik Kita.
Sementara itu, pada Ahad lalu, Farid telah memuat naik gambarnya sedang mencium seorang bayi lelaki di laman sosial Intagram dan Facebook yang menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Bagaimanapun, gambar bayi yang sama turut dimuat naik oleh adiknya pelakon Fadzil Zahari di laman media Instagram miliknya sejak seminggu yang lalu.
Foto milik Fadzil Zahari di laman Instagram pada 25 Mei lalu. 
Fadzil yang dihubungi berkata bayi tersebut merupakan anak adik lelakinya yang lahir pada 11 Mei lalu.
"Gambar itu bukan anak Farid tetapi anak saudara kami yang kini berada di Seremban.
"Saya difahamkan Diana akan bersalin akhir Julai atau awal Ogos depan dan Insya-Allah jika tiada halangan saya juga akan melihatnya di sana," katanya.
Sementara, Diana dalam laman Twitter miliknya kini masih aktif mengikuti beberapa kelas lakonan dalam kursus perfileman yang diambil di negara berkenaan.
Pasangan selebriti tersebut diijabkabulkan pada 3 November tahun lalu di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Ahmad Idham Tegur Pawagam Tayang Filem Waktu Maghrib

Ahmad Idham 
PETALING JAYA: Penerbit filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kecewa dengan sikap pemilik pawagam di negara ini yang tidak sensitif apabila menayangkan filem-filem tempatan pada waktu Maghrib.
Ahmad Idham berkata, keadaan itu turut berlaku terhadap filem terbitannya iaitu Lari di mana terdapat beberapa pawagam menayangkan filem itu pada pukul 7 malam sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak.
"Isu ini sebenarnya sudah lama berlaku dan saya mahu bercakap tentang perkara ini apabila sudah tidak tahan disindir dan ada kalanya dimaki oleh peminat-peminat seolah-olah saya tidak menghormati waktu Maghrib.
"Sedangkan penetapan waktu tayangan bukan ditetapkan oleh saya, tetapi oleh pihak pawagam itu sendiri.
"Bukan filem saya sahaja yang menjadi mangsa keadaan, sebaliknya juga filem-filem tempatan lain,” katanya.
Terdahulu Ahmad Idham pada Isnin telah meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi laman sosial Twitter dengan mengatakan dia tidak faham kenapakah pihak pawagam meletakkan masa tayangan filem-filem Tempatan pada pukul 7 petang, waktu di mana umat Islam menunaikan solat Maghrib.
Tambah penerbit syarikat produksi Excellent Pictures itu lagi keadaan berkenaan membuatkan seolah-olah pihak pawagam seperti tidak menghormati umat Islam.
"Saya rasa bukankah lebih elok kalau tayangan filem Melayu diakhiri pada pukul 6 petang dan kemudian disambung semula pada pukul 8 atau 8.30 malam memandangkan tempoh masa solat Maghrib begitu singkat,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Idham turut menegur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana tidak mengambil berat hal berkenaan selain meminta pihak berkenaan agar mengkaji semula isu masa tayangan filem-filem tempatan di bawah Syarat Wajib Tayang.
Raja Rozaimi 
Katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia akan menjejaskan kutipan filem-filem tempatan kerana waktu tayangan itu benar-benar tidak bersesuaian.
"Ia sedikit sebanyak menjejaskan industri filem tempatan tanpa sedar memandangkan penonton Melayu tidak akan menyaksikan filem pada waktu tersebut. Banyak lagi filem-filem lain yang boleh ditayangkan pada masa itu," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengkaji semula hal tersebut.
"Saya pun tidak pasti tentang perkara itu. Lagipun benda ini bukannya baru. Saya kena kaji dahulu dan kemudian mengumpulkan pihak-pihak yang berkaitan untuk berbincang.
"Nak cakap panjang pun susah kerana perkara ini perlu diteliti dahulu," ujarnya ringkas.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment