Wednesday, 2 January 2013

Suami dimadu

AMBIL KETERANGAN...penguat kuasa JAJ menyoal siasat doktor terbabit.
AMBIL KETERANGAN...penguat kuasa JAJ menyoal siasat doktor terbabit.
BATU PAHAT: Rahsia seorang wanita beranak dua ‘memadukan’ suami selepas dipercayai bernikah dengan seorang doktor di Thailand, Julai lalu, terbongkar apabila rumah dihuni pasangan itu di Penggaram, di sini, diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam serbuan itu, wanita berusia 35 tahun terbabit berkeras kononnya sudah ‘menceraikan’ suami pertama ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) Batu Pahat, jam 1.30 pagi.

Malah, seorang lelaki berusia 40-an, dipercayai abang wanita terbabit yang turut serta dalam serbuan itu, memarahi doktor terbabit yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan adiknya.

Pada masa sama, seorang lelaki dipercayai suami pertama wanita terbabit juga tiba tidak lama kemudian dan hanya mendiamkan diri.

Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Penguat Kuasa JAJ Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pada mulanya, wanita terbabit menafikan dia dan suami keduanya itu sudah bernikah, tetapi mengubah pengakuan selepas didesak.


Sumber : myMetro
Reply To This Comment

Tragedi ambang 2013, peniaga sate maut kereta putus dua

Kereta putus dua 2013
Kereta yang dipandu Ghazali terputus dua di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - Foto oleh Mohd Azlim Zainury












 SETIU – Seorang peniaga sate maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di kawasan Kampung Sungai Lerek dekat Sungai Tong di sini menjelang tahun baru malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Ghazali Muhamad, 67, mati di tempat kejadian apabila cedera parah selepas kereta dinaikinya terputus dua.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu dikatakan terbabas di lorong bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama bas ekspres dari arah Kota Bharu cuba mengelak kereta tersebut lalu  masuk ke laluan sebelah kanan jalan namun kereta mangsa masuk semula ke laluannya menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa merempuh bahagian sisi kiri bas dan diseret sejauh beberapa meter,” katanya.

Ab Rahman berkata, akibat kemalangan itu bahagian depan kereta mangsa terputus dua dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Bagaimanapun pemandu dan 30 penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu dan Kluang, Johor itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang menjalankan peniagaan sate di Dungun beralamat di Kampung Badak Rekang Hilir Belakang, Bachok, Kelantan dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Trafik Setiu, Inspektor Musa Ali dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SUmber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Pasangan khalwat larikan kenderaan Jaip

KUANTAN - Seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya berhubung tuduhan berkhalwat bertindak nekad melarikan kenderaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam cubaan meloloskan diri daripada dikenakan tindakan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, remaja terbabit bersama pasangannya dan dua individu yang turut ditahan atas kesalahan sama dipercayai berada dalam kenderaan sementara dibawa  ke pejabat Jaip untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun remaja berusia 18 tahun itu bertindak menolak pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero sehingga terjatuh sebelum  memecut kenderaan menghala ke Indera Mahkota dari di Jalan Wong Ah Jang.

Pegawai penguat kuasa Jaip berjaya mengejar kenderaan terbabit di satu kawasan di Indera Mahkota dan menahan satu pasangan dalam kenderaan itu.

Satu pasangan lagi termasuk lelaki yang melarikan kenderaan tersebut berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun mereka menyerah diri di pejabat Jaip.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian.

Dalam Operasi Cegah Maksiat sempena Tahun Baru 2013 itu, sebanyak 13 pasangan ditahan kerana disyaki berdua-duaan dalam bilik hotel bajet sekitar bandar Kuantan.

Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun dibawa ke pejabat Jaip untuk disoal siasat mengikut Seksyen 145 (2) Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1984.


Sumber : Sinar Harian
Reply To This Comment

Remaja 13 tahun didakwa mencabul wanita

MELAKA: Seorang wanita berusia 28 tahun mendakwa seoarng remaja lelaki berusia 13 tahun mencabul kehormatannya dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak di Jalan Munshi Abdullah.
Lareece Low Mei Yuet memuat naik cerita tersebut di laman sosial Facebooknya, mendakwa kejadian malang itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.25 petang Isnin apabila tiba-tiba seorang remaja lelaki meluru ke arahnya ketika dia sedang keluar daripada tandas tersebut
"Saya sedang meninggalkan tandas itu ketika dia meluru ke arahnya dan segera menutup mulut dia.
"Dia mencium pipi dan meraba dada saya ketika saya cuba untuk melepaskan diri," dakwa Low.
Low berkata dia berjaya menjerit serta menggigit jari remaja lelaki tersebut ketika bergelut dengannya untuk membuka pintu.
"Saya berjaya menghadang pintu itu daripada ditutup menggunakan tangan saya," katanya.
Menurutnya, beberapa orang awam yang berada di luar tandas berkenaan turut menghulurkan bantuan sebaik sahaja mereka mendengar dia menjerit.
Suspek ditahan oleh polis ketika berada di tempat kejadian dan daripada soal siasat yang dijalankan mereka mendapati remaja berkenaan baru berusia 13 tahun.
Ketua Polis Negeri, Asisten Komisioner, Raja Sharom Raja Abdullah mengesahkan mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Tatacara Jenayah atas kesalahan mencabul, katanya.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment

Masih Lagi Ditawarkan Watak Seksi, Kilafairy Tolak 5 Filem

Kilafairy. Foto ROHAIZAT MD DARUS
PETALING JAYA: Pelakon Kilafairy mengakui, dia terpaksa menolak lima tawaran berlakon filem gara-gara diberikan watak seksi dan ada diantaranya meminta dia untuk berkemban.
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan berkata, pengalaman lalu dia pernah berkemban untuk satu babak dalam filem Karak sehingga mencetuskan kontroversi benar-benar mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam memilih watak bagi setiap tawaran filem yang diterima.
"Memang saya sangat memilih dengan watak yang ditawarkan pada saya, tidak kiralah untuk drama mahupun filem.
"Saya pernah membawa watak seksi sebelum ini dan tidak akan mengambil peranan sama lagi. Kerana perkara itu, saya terpaksa menolak lima tawaran berlakon filem.
"Cukuplah, pengalaman lalu mengajar saya banyak perkara. Saya tidak mahu memalukan keluarga dengan isu-isu yang remeh," tegasnya.
Tambah Kilafairy, walaupun dia tahu sikap memilih watak dapat merugikannya sedikit daripada mendapat publisiti, anak kepada Rohana Jalil itu tidak kisah sekiranya namanya kurang popular di kalangan umum.
"Biarlah kuantiti lakonan saya sedikit, asalkan hasil pada setiap lakonan yang dibawakan berjaya memberi impak dan membuatkan penonton ingat dengan watak yang saya tonjolkan itu.
"Dan jujurnya, saya tidak kisah sekiranya kurang diberi publisiti kerana yakin peminat akan tetap mengingati kita menerusi hasil lakonan yang bagus," ujarnya.
Sementara itu, tahun 2013 juga merupakan tahun kesibukan pelakon ini apabila dia turut akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap butiknya iaitui Rack.
Mengenai perkembangan karier nyanyiannya pula, Kilafairy bersyukur apabila dia sering mendapat tawaran nyanyian bagi majlis-majlis korporat.
"Alhamdulillah, saya sering menerima undangan persembahan nyanyian di majlis-majlis korporat.
"Bagaimanapun saya cuba mengurangkan undangan nyanyian di stesen televisyen sekiranya saya aktif dalam lakonan drama. Ia adalah bagi mengelakkan orang bosan dengan menonton wajah saya dengan kerap," tutur pelantun lagu Pasti itu.
Sumber : mStar Online
Reply To This Comment