PETALING JAYA: Keputusan pelakon Izzue Islam yang akan melangsungkan pernikahan dengan pengurus sendiri pada 2 Jun depan membuktikan ahli kumpulan Forteen itu bukan lelaki gay seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, menerusi perkahwinannya dengan wanita bernama Awin itu, ia akan dapat menutup mulut pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh sedemikian.
"Alhamdulillah, saya akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan pada masa sama dapat menutup mulut orang yang menganggap saya gay selama ini.
"Bagaimanapun saya tidak kisah sangat pun dengan dakwaan itu. Biasalah apabila melihat ahli-ahli Forteen yang berwajah 'jambu', orang menilai macam-macam.
"Sekiranya ada lagi dakwaan-dakwaan seperti itu, saya juga tidak akan mempedulikannya. Biarlah apa orang nak cakap," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.
Izzue dan Awin yang telah mengikat tali pertunangan pada Jun 2012 dan bakal bernikah di sebuah dewan di Shah Alam dekat sini selepas lima tahun perkenalan.
Perkenalan mereka bermula apabila Awin mula menguruskan karier lakonan Izzue dan dia sendiri tidak sedar bilakah rasa cinta di antara mereka mula berputik.
"Memang saya tak pasti bila hubungan kami yang mulanya sebagai kawan menjadi serius. Kami hanya mengikut rentak sahaja. Memandangkan kami faham dengan kerja dan hal peribadi masing-masing, rasanya dia adalah pilihan yang terbaik untuk dijadikan sebagai teman hidup.
"Doakan kami bahagia selamanya dan pada masa sama maafkan saya jika tidak mendedahkan kisah kami secara terbuka. Takut jika perhubungan ini tidak menjadi
"Saya kan orang kampung, jika tak jadi, saya dan keluarga di kedua-dua belah pihak pula yang mendapat malu," ujar pemuda yang berasal dari Kelantan ini.
Dalam perkembangan lain, Izzue kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiriSahabat di Kluang, Johor untuk siaran di Astro Ria.
Selain itu Izzue juga bakal menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz, arahan Adi Putra tidak lama lagi.Sumber : mStar Online
No comments:
Post a Comment