PETALING JAYA: Penyanyi Adira menegaskan tidak pernah melakukan sebarang teknik suntikan atau memakan sebarang pil untuk mendapatkan kulit putih melepak dan gebu seperti dakwaan sesetengah pihak.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 23, sebaliknya berkata, keadaan fizikalnya itu memang semula jadi putih namun tidak menafikan ada menggunakan sejenis krim untuk menjaga kulitnya.
"Saya memang dilahirkan dengan kulit yang putih dan ingin ditekankan bahawa saya tidak pernah melakukan sebarang teknik suntikan atau memakan pil untuk mendapatkan kulit putih dan gebu," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Adira menjelaskan laporan sebuah akhbar mingguan yang mempersoalkan perubahan kulitnya yang sangat ketara berbanding pada awal kemunculannya sebagai artis sebelum ini.
Menjawab persoalan tersebut, Adira berkata, mungkin faktor cuaca di tempat asalnya, Ranau, Sabah dengan Kuala Lumpur yang berbeza membuatkan kulitnya kelihatan berbeza ketika waktu itu dengan terkini.
"Dulu nampak gelap sikit mungkin sebab cuaca di Ranau panas dan apabila ke Kuala Lumpur ia tidak seteruk di sana tambahan pula apabila menjadi artis saya lebih bijak menjaga penampilan diri," jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai krim yang digunakannya, Adira berkata, krim yang disapu kepada kulit itu bukan bertujuan untuk memutihkan kulit sebaliknya ia bertindak untuk mengekalkan kelembapan kulit yang sering terdedah kepada sinaran matahari.
"Benar saya gunakan krim tetapi ia krim biasa sahaja dan saya yakin orang lain juga ada menggunakannya. Saya tidak lihat ada apa-apa isu sekiranya saya ingin menggunakan krim tersebut bagi menjaga kesihatan kulit saya," katanya.
Tambah Adira, dia bukanlah seorang yang obses dalam bab kecantikan namun sebagai selebriti dia perlu memastikan penampilannya sentiasa segar.
Sementara itu, Adira berkata, dia tidak menyimpan perasaan marah apabila ada pihak menegur tentang perubahannya namun cara yang dilakukan lebih kepada kritikan terhadapnya.
"Teguran itu bagus tetapi jangan sampai ia mengguris perasaan orang lain. Saya tidak marah apabila ditegur tetapi kebanyakkannya terus mengutuk saya tanpa mengetahui perkara sebenar," ujarnya.
Dalam perkembagan lain, Adira berkata, selain sibuk dengan undangan nyanyian dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya khas buat peminat.
Sumber : mStar Online
No comments:
Post a Comment